Afidavit tetap afidavit!

38

KETUA jurulatih baharu Selangor, B. Sathianathan belum mahu mengukir senyuman di sebalik perkhabaran gembira yang dibawa pasukan lamanya, Felda United.

Sebaliknya, Sathianathan tetap mahu memfailkan afidavit Jawatankuasa Status Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) biarpun pihak pengurusan Felda United telah menjelaskan tunggakan gaji bagi bulan September 2018.

Sathianathan berkata, penyelesaian tunggakan gaji sebulan itu masih belum mampu memadam 'api' kemarahannya yang sebelum ini telah banyak bersabar dengan segala tindak tanduk bekas majikannya itu.

"Mereka (Felda United) hanya membayar tunggakan sebulan gaji. Saya anggap ini lebih kepada mahu meredakan keadaan yang tengah panas dan menunjukkan sesuatu kepada FAM.

"Tidak ada mana-mana pegawai daripada Felda United yang memberitahu kepada saya tunggakan gaji (sebulan) ini telah dibayar. Mereka hanya diam tanpa memberitahu apa-apa mengenai perkara ini.

"Walaupun tunggakan sebulan gaji ini telah dibayar, saya tetap akan membuat afidavit kepada FAM apabila pulang dari Bangkok, Thailand minggu depan," jelas Sathianathan kepada Sukan Sinar semalam.

Menurut Sathianathan, selain dua bulan tunggakan gaji yang belum dijelaskan iaitu bagi Oktober dan November 2018, pihak pengurusan Felda United juga didakwanya belum melunaskan bayaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) selama lima bulan.

"Bukan hanya gaji, bayaran KWSP juga tidak dilunaskan. Ia bukan sahaja melibatkan saya, malah bekas-bekas pemain yang tidak lagi bersama mereka (Felda United).

"Jika betul-betul pihak pengurusan Felda (United) mahu menyelesaikan masalah gaji dan KWSP ini, mereka sepatutnya memanggil saya dan para pemain terlibat. Jelaskan apa rancangan mereka untuk melunaskan pembayaran yang tertangguh," katanya.

Pada penghujung tahun lalu, Sathianathan memberitahu, beliau akan menyerahkan afidavit mengenai tuntutan itu kepada Jawatankuasa Status FAM bagi mengelakkan kes terbabit terus berpanjangan selain mencari keadilan kepada pemain dan pegawai pasukan tersebut.

Sebagai rekod, Sathianathan mula membimbing skuad The Fighters pada 2017. Di bawah kendaliannya, Felda United menduduki tangga ketiga Liga Super selain mara ke pentas semi final Piala Malaysia bagi musim 2017.

Hasil kejayaannya itu, Sathianathan yang juga bekas pengendali Harimau Malaya dinobat sebagai jurulatih terbaik pada majlis Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2017. Ia anugerah kali ketiga yang dimenanginya selepas turut mengungguli trofi yang sama pada 2010 dan 2012.

Musim lalu, Sathianathan terus mencipta sensasi apabila skuad kendaliannya muncul juara Liga Premier, sekali gus melayakkan mereka secara automatik kembali bersaing dalam kempen Liga Super 2019.

Bagaimanapun, Sathianathan dan sebahagian pemain meninggalkan Felda United apabila pihak pengurusan The Fighters memulakan langkah penjimatan dengan membuat potongan gaji sehingga 60 peratus bagi menghadapi kempen Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Komen anda