Air mata Murray

43

Bintang handalan Britain, Andy Murray mungkin terpaksa mengucapkan selamat tinggal lebih awal dari gelanggang tenis.
Pada awalnya, Murray meletakkan sasaran untuk mengakhiri kariernya selepas kejohanan Wimbledon tahun ini. Bagaimanapun, masalah kecederaan pinggul yang menghantuinya menyebabkan dia dijangka bersara lebih awal.
Pemain berusia 31 tahun itu yang hanya beraksi dalam 12 perlawanan tahun lalu turun bersaing pada kejohanan Antarabangsa Brisbane minggu lalu. Dia berjaya melepasi pusingan pertama sebelum tersingkir dalam aksi pusingan kedua.
Begitupun, Murray tetap bersemangat bagi menghadapi Terbuka Australia minggu depan yang menyaksikan dia bakal membuat perhitungan dengan pemain nombor 22 dunia, Roberto Bautista Agut.
Ditanya adakah Terbuka Australia kali ini merupakan kejohanan terakhirnya, Murray menjawab: “Ya saya seperti dapat rasakan sebegitu kerana saya sendiri tidak pasti sama ada dapat meneruskan karier dengan keadaan kesakitan dalam tempoh empat hingga lima bulan.”
Pada sidang akhbar yang sama, Murray tidak dapat menahan emosinya yang cukup sedih dengan situasi menimpanya ketika ini. Adakalanya dia dilihat mengesat air matanya pada sidang akhbarnya itu menjelang Terbuka Australia yang bermula secara rasmi Isnin ini.
Menurut Murray yang juga bekas pemain nombor satu dunia, dia terpaksa menahan kesakitan ketika beraksi di tengah gelanggang sejak beberapa tahun lalu.
Ketika menjalani sesi latihan (di Miami bulan lalu), saya telah bercakap dengan pasukan saya bahawa saya tidak lagi boleh meneruskan situasi ini.
“Mulanya saya memberitahu mereka saya mampu beraksi sehingga kejohanan Wimbledon tetapi sekarang saya terpaksa berfikir semula. Segala-galanya tidak seperti yang saya rancang.
“Saya perlu membuat satu keputusan yang berat kerana kesakitan yang dialami masih belum pulih sepenuhnya,” jelas Murray yang juga juara Grand Slam tiga kali.
Murray telah menjalani pembedahan di Melbourne setahun yang lalu, namun mengakui dia belum berada pada tahap terbaik untuk kembali menjadi pemain yang digeruni lawan.
“Saya masih ada pilihan untuk menjalani satu lagi pembedahan yang mungkin mampu membantu memulihkan masalah kecederaan ini. Itu perkara yang paling saya fikirkan ketika ini,” ujarnya.
Pada 2016, Murray muncul sebagai pemain Britain pertama yang mendaki carta nombor satu dunia yang menyaksikan dia menghuni ranking tertinggi itu dalam tempoh 41 minggu. Pada tahun itu, dia meraih sembilan kejuaraan termasuk lima gelaran berturut-turut.
Sepanjang kariernya, Murray memenangi tiga gelaran Grand Slam selain merekodkan 45 kejuaraan dalam acara perseorangan.

 

 

Komen anda