Akhyar bakal berdepan saman?

70877
PEMILIK Marque Sports Management (MSM), Wan Mohd Anwari Wan Amran mengakui pihaknya tidak akan teragak-agak mengambil tindakan terhadap Akhyar Rashid susulan tindakan bintang muda 19 tahun itu melanggar kontrak dan menafikan hak syarikat itu sebagai ejennya yang sah.

Wan Mohd Anwari berkata, pihaknya kini sedang berurusan dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk melihat apakah jenis tindakan yang boleh dikenakan kepada Akhyar bagi membolehkan pihaknya mendapat pampasan yang setimpal dengan apa yang telah dilakukan anak jati Alor Setar itu.

 

“Akhyar berani untuk buat masalah ini dan sekarang dia kena berani juga untuk hadapi apa yang dia dah buat. Saya akan berbincang dengan FAM untuk tahu apa bentuk tindakan yang boleh saya lakukan kepadanya.

 

“Saya cuba untuk dapatkan pampasan atau apa sahaja berkaitan kes ini. Tidak kiralah apa nilai pampasan itu sekali pun, saya cuma mahukan hak saya.

 

“Saya tidak buat untuk balas dendam, dan saya juga gunakan saluran yang betul tanpa memaki hamun ahli keluarganya atau apa sahaja. Saya dah cuba cara baik, tetapi dia tak nak layan, jadi saya terpaksa melalui FAM,” katanya yang juga merupakan antara ejen berdaftar di bawah FAM.

 

Tambah Wan Mohd Anwari, beliau tidak takut sekiranya Akhyar mahu meninggalkan MSM berikutan kes ini, sebaliknya beliau percaya akan ada lebih ramai pemain yang mempunyai bakat setaraf dengannya boleh dikembangkan selepas ini.

 

“Akhyar masih mempunyai kontrak sehingga Januari 2019 dan selepas itu jika beliau mahu tinggalkan MSM, tak apalah. Saya tak akan merayu. Ramai lagi pemain boleh kami kembangkan.

 

“Di Malaysia, bukan hanya ada Akhyar sahaja sebagai pemain bola sepak. Saya percaya ada ramai lagi budak-budak muda masih belum digali dan akan ada ‘the next Akhyar Rashid’.

 

“Kami mahu cari pemain yang serius untuk majukan diri mereka dan sentiasa bersama-sama dengan ejen untuk berkembang menjadi pemain bertaraf bintang di masa akan datang,” katanya lagi.

Komen anda