KELAB Badminton (BC) Ampang Jaya pendahulu Divisyen Satu Purple League Junior (PLJ) 2018 memanfaatkan sepenuhnya beraksi di laman sendiri apabila menewaskan pencabar terdekat, Bukit Cheras BC 12-8 di The Challenger Sports Centre, Ampang, di sini.

Dengan esok hari terakhir saingan PLJ, Ampang Jaya BC kini mengutip 39 mata kemenangan selepas tujuh perlawanan menjarakkan lagi kutipan mata dengan Bukit Cheras BC di kedudukan kedua dengan 27 mata (beraksi enam perlawanan setakat ini) sementara Kepong BC di tangga ketiga dengan 21 mata selepas enam perlawanan.

Ampang Jaya BC membuka gelanggang dengan mengutip kemenangan pertama yang dihasilkan pemain perseorangan lelaki mereka, Tan Ming Kang selepas menewaskan wakil Bukit Cheras BC, Low Eu Cong 3-0 (11-10, 11-2, 11-5).

Penguasaan tuan rumah berterusan dalam acara beregu perempuan apabila gandingan Goh Yi Xuan- Ng Wan Win terus menambah mata buat Ampang Jaya BC apabila mereka menang 3-0 (11-5, 11-9, 11-5) mengatasi Odelia Wong Qiao Shi- Ting Ee Chin.

Bukit Cheras BC bangkit memberikan tentangan dalam acara beregu campuran. Gandingan Atitaya Povanon- Muhd Ariff Mohd Asaari menundukkan pasangan Ampang Jaya BC, Brandon Choong Ting Foong- Ho Le Ee 3-1 (11-6, 10-11, 11-3, 11-3).

Bagaimanapun, hasrat Bukit Cheras BC untuk terus bangkit gagal dalam acara perseorangan perempuan apabila pemainnya, Syalsabila Vahira Irmawan tewas tipis 2-3 (5-11, 5-11, 11-2, 11-3, 4-11) kepada pemain Ampang Jaya BC dari China, Chen Lu membolehkan Ampang Jaya BC selesa mendahului set mata keseluruhan 10-5.

Acara beregu lelaki menyaksikan Bukit Cheras BC kembali mencatatkan kemenangan apabila Chung Kin Wai- Lim Tze Jian menang tipis 3-2 (10-11, 11-9, 7-11, 11-6, 11-7) ke atas pasangan Ampang Jaya BC, Fatkhul Rozzi- Liu Zeqing, namun kemenangan itu tidak cukup untuk Bukit Cheras BC mengejar pungutan mata keseluruhan perlawanan ini.

Ketua Jurulatih Ampang Jaya BC, Ho Khek Mong berkata, “Saya gembira dengan kemenangan ini kerana semua pemain beraksi seperti mana diharapkan. Namun, kita tidak boleh terlalu gembira kerana masih ada satu perlawanan yang menanti esok.

“Kita memang memiliki kelebihan di gelanggang sendiri dan esok, saya harapkan pemain akan dapat bermain dengan baik menentang Cheras BC dalam aksi terakhir untuk mencapai objektif kita bergelar juara PLJ musim ini,” kata Khek Mong.

Dalam pada itu, saingan Divisyen Dua yang berlangsung di sebelah pagi tadi menyaksikan pasukan dari Kedah, Amanjaya BC semakin selesa mendahului liga. Kemenangan besar 14-3 mengatasi Ipoh BC terus mengukuhkan mereka di puncak liga.

Setelah tamat tujuh perlawanan dalam Divisyen Dua PLJ, Amanjaya BC berada di kedudukan pertama dengan 48 mata, Kuantan Synergy BC di tangga kedua mengumpulkan 24 mata dan di tempat ketiga liga ketika ini adalah Tebrau City BC dengan 19 mata.

Esok hari terakhir saingan PLJ bagi musim ini bertempat di The Challenger Sports Centre, Ampang. Untuk rekod PLJ, Petaling BC pernah muncul juara dua kali pada tahun 2015 dan 2016 sementara Cheras BC adalah juara untuk edisi tahun lalu.

KEPUTUSAN
Venue: The Challenger Sports Centre, Ampang

DIVISYEN SATU
Petaling Jaya BC 6-13 Petaling BC
Puchong United BC 8-10 Rawang BC
Cheras BC 3-14 Kepong BC
Bukit Cheras BC 8-12 Ampang Jaya BC

DIVISYEN DUA
Ayer Itam BC 7-10 Serdang BC
Klang Rising BC 8-13 Tebrau City BC
PGBC 10-9 Kuantan Synergy BC
Amanjaya BC 14-3 Ipoh BC
Desa Petaling BC 10-12 Georgetown BC

 

Komen anda