Azwan fokus tiga mata di Batu Kawan

522
Mohd Azwan (dua,kiri) bersama rakan sepasukannya tekun mendengar arahan penolong jurulatih, Yusri Che Lah pada sesi latihan terakhir di Kota Baharu, pagi semalam, sebelum bertemu PKNP FC dalam saingan Liga Super di Batu Kawan, malam esok.
Mohd Azwan (dua,kiri) bersama rakan sepasukannya tekun mendengar arahan penolong jurulatih, Yusri Che Lah pada sesi latihan terakhir di Kota Baharu, pagi semalam, sebelum bertemu PKNP FC dalam saingan Liga Super di Batu Kawan, malam esok.

MAZRAM IDZAM RIDZAL MAHMUD

Pertahanan Kelantan, Mohd Azwan Mohd Aripin mengaku pertemuan menentang PKNP FC cukup penting bagi pasukannya untuk mencari kemenangan pada saingan Liga Super di Stadium Negeri Batu Kawan, malam esok.

Mohd Azwan berkata, skuad The Red Warriors (TRW) harus bangkit memburu mata penuh untuk keluar dari zon penyingkiran selepas tunduk kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) di laman sendiri, tempoh hari.

“Bagi saya, Kelantan tiada pilihan selain wajib menewaskan PKNP FC malam esok (ini). Kami perlukan kemenangan walaupun saya tahu ia sukar kerana beraksi di gelanggang lawan.

“Tetapi saya percaya tiada mustahil dalam bola sepak asalkan rakan-rakan bekerja keras di atas padang. Kalau kami boleh beraksi seperti bertemu JDT, Insya- ALLAH Kelantan mampu mendapat keputusan positif,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Skuad The Red Warriors yang dibimbing jurulatih baharu, Fajer Ibrahim, sejak hujung Mac lalu, masih buntu mencipta kemenangan setelah seri 1-1 dengan Negeri Sembilan selain tewas 1-2 kepada JDT, Sabtu lalu.

Ketika ini, TRW menghuni tangga kedua tercorot dan tekanan pasti dirasai pengendali kelahiran Syria itu untuk menamatkan kemenangan setelah gagal dalam dua aksi terdahulu.

Menurut pertahanan kidal itu, dia dan rakan sepasukannya sudah melupakan kekalahan kepada JDT dan memandang positif untuk menghadapi skuad kendalian Abu Bakar Fadzim.

“Walaupun saya tidak nafikan ada sedikit perasaan kecewa setelah tewas tipis kepada JDT namun semangat pasukan tetap tinggi malah moral pemain juga baik untuk bertemu PKNP FC,” katanya.

Dalam pada itu, tonggak berusia 22 tahun itu yakin benteng pertahanan mereka dapat membentuk gandingan mantap bagi mengekang jentera serangan tuan rumah diterajui Yeon Gi-sung dan Keo Sokpheng, pada pertemuan tersebut.

“Saya rasa rangkaian pertahanan telah menunjukkan persembahan lebih baik berbanding perlawanan sebelum ini. Mungkin ada sedikit kesilapan dan kurang fokus dalam minit-minit akhir tetapi kami akan cuba atasi masalah ini,” katanya.

 

Komen anda