‘Berat hati tinggalkan Arsenal, tapi….’ – Ramsey tinggalkan nota perpisahan

498
AARON Ramsey mengesahkan dirinya semakin hampir meninggalkan Arsenal selepas menandatangani pra-kontrak bersama kelab gergasi Itali, Juventus.

Pemain berusia 28 tahun itu bersetuju untuk mengakhiri karier 11 tahunnya bersama The Gunners enam bulan lagi apabila ditawarkan terma perjanjian selama empat tahun dengan gaji sebanyak £400,000 (kira-kira RM2 juta) seminggu.

Ini bakal menjadikan Ramsey sebagai pemain ketiga dari Wales sertai Juventus selepas John Charles dan Ian Rush, sekali gus bakal bergandingan dengan bintang sensasi dunia, Cristiano Ronaldo.

Mengulas perpindahannya itu di Instagram, Ramsey mengakui keputusan untuk berhijrah ini tidak mudah untuknya dan sempat meninggalkan nota dan ucapannya kepada penyokong Gunners yang sentiasa berdiri teguh dibelakangnya.

“Seperti yang anda ketahui, saya sudah bersetuju dengan perjanjian pra-kontrak bersama Juventus. Saya ingin berterima kasih secara peribadi kepada semua peminat Arsenal yang begitu setia dan banyak memberi dorongan.

“Anda menerima saya sejak zaman remaja dan sentiasa teguh memberi sokongan kepada saya dalam keadaan jatuh dan bangun bersama kelab ini. Keputusan ini tidak mudah selepas melalui 11 tahun yang hebat di London Utara.

“Terima kasih. Saya akan terus memberikan 100 peratus kepada pasukan ini (sehingga kontrak tamat pada Julai) dan berharap kami mampu mengakhiri musim ini dengan cemerlang sebelum memulakan babak baharu di Turin,” katanya.

Untuk rekod, sejak menyertai Arsenal dari Cardiff City pada 2008, Ramsey pernah menjulang tiga Piala FA di bawah kendalian Arsene Wenger.

Komen anda