‘Bila puji JDT kata saya bodek’ – Sathianathan luah rasa kurang senang mengenai satu kekurangan Red Giants

9364
FOTO: FAS

Ketua Jurulatih Selangor, B Sathianathan meluahkan rasa kurang senangnya apabila sehingga kini skuad kendaliannya masih belum dapat berlatih di padang stadium rasmi Gergasi Merah, Stadium Shah Alam.

Sathianathan berkata, proses pembaikan yang sedang berjalan sekarang sepatutnya diadakan lebih awal dan bukannya menunggu sehingga saingan liga hendak membuka tirainya.

“Sampai hari ini kami belum lagi dapat berlatih di atas padang Stadium Shah Alam atau main friendly di situ kerana dikhabarkan sedang baik pulih. Persoalannya, apa yang berlaku dua, tiga bulan sebelum ini?

“Itu yang saya katakan kepada pengurusan baharu ini. Sepatutnya kami sudah menggunakan padang stadium rasmi kita satu atau dua kali, tetapi ini tidak berlaku.

“Perlawanan pertama kita ialah di laman sendiri pada 3 Februari, kenapa nak baik pulih di minit-minit akhir? Sepatutnya dah tahu perlawanan Februari, Disember sudah kena siap semuanya,” katanya ketika ditemui di Majlis Pelancaran Jersi Pertama dan Kedua Selangor semalam.

Pada masa sama, Sathianathan juga sedih melihat situasi pasukan berstatus legenda ini masih tidak mempunyai fasiliti yang lengkap seperti yang sepatutnya.

Beliau bagaimanapun tidak menyalahkan pihak pengurusan baharu, sebaliknya mempersoalkan apa yang dilakukan oleh pengurusan terdahulu.

“Fasiliti..ini kekurangan Selangor yang saya nampak. Satu pasukan yang dah lama dan menjadi pioneer dalam bola sepak Malaysia, tapi bab kemudahan, kita tiada apa-apa! Nothing! Bahkan kita tiada padang latihan sendiri. Saya minta maaf jika terpaksa berkata seperti ini.

“Bila saya bercakap atau puji JDT (Johor Darul Ta’zim) ramai yang marah saya. Cakap saya nak bodeklah, apalah..Tapi hakikatnya mereka memang ada fasiliti dan kemudahan yang terbaik di Malaysia. Jangan cerita perlu halang pemain untuk ke sana, sebab pemain tahu mereka perlu pilih pasukan yang ada fasiliti lengkap.

“Tetapi ini semua ditujukan kepada pengurusan lama, bukannya baharu. Yang baharu ini saya nampak mereka sedang berusaha melakukan sesuatu dan beri respon terbaik terhadap permintaan saya.

“Sebab itulah, bila tahu jualan jersi kita sudah mencecah jutaan ringgit, saya berharap akan ada ramai penaja buka mata dan seterusnya dapat meningkatkan fasiliti pasukan,” katanya.

Sementara itu, pengurus pasukan Selangor, Datuk Abdul Rauf Ahmad sempat menjawab isu berkaitan baik pulih Stadium Shah Alam yang masih belum selesai seperti dibangkitkan Sathianathan.

Beliau yang ditemui di majlis yang sama menjelaskan, proses baik pulih stadium itu akan diselesaikan selewat-lewatnya 1 Februari ini.

Komen anda