Bos Gaurus tagih aura pemain ke-12

136
Durakovic (kanan) bersama Shahrul Saad pada sidang media di Stadium Perak, di sini, semalam.

SAIFULLAH AHMAD

SOKONGAN padu penyokong amat diperlukan jentera Perak menjelang kunjungan kelab dari Hong Kong, Kitchee FC pada perlawanan pusingan kedua Kelayakan Juara-Juara Asia (ACL), esok.

Ketua Jurulatih Perak, Mehmet Durakovic berkata, The Bos Gaurus mengharapkan sokongan seperti perlawanan menentang Kedah pada Jumaat lalu bagi menyemarakkan semangat untuk bermain.

Menurutnya, Kitchee FC bukan lawan mudah tetapi pasukannya bersedia mempamerkan aksi terbaik pada malam itu nanti.

“Perlawanan esok sesuatu yang mengujakan buat kami kerana ini kali pertama kita bermain untuk peringkat ACL. Perlawanan menentang Kitchee FC bukan perlawanan yang mudah kerana mereka berpengalaman dan memiliki pemain hebat.

“Kehadiran penyokong pada perlawanan sebelum ini sangat baik dan amat bagus jika jumlah itu dapat dikekalkan pada perlawanan esok. Kita perlukan sokongan penyokong untuk bermain dengan pasukan hebat seperti Kitchee FC,” katanya pada pemberita, hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media Pra Perlawanan Pusingan Kelayakan ACL di Stadium Perak, di sini.

Menurut Durakovic, perlawanan tersebut penting buat anak buahnya untuk memberi pengalaman dan peluang bermain di peringkat Asia dengan kelab-kelab terbaik.

Sementara itu, Kapten Bos Gaurus, Shahrul Saad berkata, dia dan rakan sudahpun bersedia sepenuhnya untuk menghadapi perlawanan tersebut.

Katanya, Perak perlu membuktikan bahawa mereka mampu bersaing bersama pasukan hebat lain di pentas ACL.

“Bagi saya perlawanan esok merupakan perlawanan penting buat Perak kerana ini kali pertama pemain akan bermain di ACL. Ini peluang terbaik untuk Perak membuktikan bahawa kita mampu bersaing dalam ACL.

“Dah semestinya bermain di tempat sendiri kita mahukan kemenangan di sini. Kita akan berusaha habis-habisan untuk memastikan kita layak ke peringkat seterusnya,” katanya.

Untuk rekod, Perak pernah bertemu pasukan dari Hong Kong itu pada tahun 2008 dalam saingan Piala AFC.

 

Komen anda