JAGUH badminton negara, Datuk Lee Chong Wei, mengumumkan bahawa dia masih belum bersedia untuk bersara selepas 18 tahun terlibat dalam arena badminton.

Sebaliknya Chong Wei mengakui bersedia untuk kembali ke gelanggang selepas disahkan bebas menghidap kanser hidung, namun bergantung kepada keadaan kesihatannya.

Pengumuman itu dilakukan Chong Wei dalam satu sidang media khas di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara, semalam.

“Buat masa ini apa yang lebih penting adalah kesihatan saya, kemudian baru saya akan fikirkan untuk kembali ke gelanggang.

“Saya akan cuba kembali secepat mungkin jika kesihatan saya mengizinkan, namun jika keadaan saya tidak baik selepas itu, saya akan bersara,” katanya.

Dalam pada itu, Chong Wei turut melahirkan perasaan lega apabila keadaan kesihatannya kini semakin baik, bagaimanapun doktor menasihatkannya agar tidak terburu-buru untuk kembali ke gelanggang menjalani latihan.

“Saya menjalani pemeriksaan kesihatan (di Taiwan) semalam (kelmarin) dan doktor memberitahu kesihatan saya kini sudah kembali normal. Cuma saya masih memerlukan rehat yang lebih sebelum boleh menjalani latihan seperti biasa,” jelasnya.

Mengimbau detik sukar yang dialaminya itu, Chong Wei menyifatkan ia lebih berat berbanding apa yang pernah dilaluinya sebelum ini dan berterima kasih kepada keluarga, rakan-rakan dan peminat yang sentiasa memberikan sokongan dan suntikan semangatnya kepadanya untuk kembali cergas sebagaimana sebelumnya.

“Selepas Terbuka Indonesia, kesihatan saya tidak baik dan saya terkejut dengan apa yang menimpa diri saya selepas menjalani pemeriksaan. Saya sedih selepas mengetahui saya mengidap penyakit kanser hidung.

“Saya ke Taiwan untuk mendapatkan rawatan lanjut kerana di sana lebih baik untuk membantu saya kembali pulih. Selain ahli keluarga, peminat yang tidak putus mendoakan saya di laman sosial menguatkan semangat dan motivasi untuk melawan penyakit itu,” katanya.

Komen anda