IVAN Perisic telah diangkat sebagai wira Croatia selepas beliau menjaringkan gol penting untuk memadamkan kelebihan gol awal England selain turut menyumbang bantuan gol kepada gol kemenangan di masa tambahan.

Perisic yang ditemubual selepas perlawanan menyifatkan beliau seakan bermimpi dapat membantu pasukan mencipta sejarah mara buat pertama kalinya di pentas akhir Piala Dunia.

“Sewaktu Piala Dunia 1998 di Perancis, saya hanya berada di rumah sambil memakai jersi Croatia untuk memberi sokongan.

“Siapa sangka hari ini saya berjaya menjaringkan gol penting untuk membawa pasukan ke final. Ia bagaikan satu mimpi,” katanya.

Mengulas perasaan dapat beraksi di pentas final buat pertama kalinya, Perisic mengakui ada sedikit perasaan gugup dan gentar memandangkan lawan mereka, Perancis telah menunjukkan peningkatan begitu ketara sepanjang kejohanan ini.

“Kami telah melihat semua perlawanan Perancis di peringkat kumpulan yang mana mereka sedikit bergelut pada waktu itu. Tetapi melepasi peringkat seterusnya mereka mula menunjukkan belang sebenar dan telah melalui satu peningkatan yang sangat ketara.

“Ramai yang menjangkakan Belgium akan menewaskan mereka di separuh akhir, tetapi mereka telah menunjukkan bahawa mereka boleh bermain secara bertahan dengan baik. Mereka ada pemain ternama dunia dan jurulatih yang bagus. Jadi kami perlu sedia menghadapi segala kemungkinan,” katanya lagi.

Komen anda