KEJAYAAN Khabib Nurmagomedov menewaskan Conor McGregor dalam aksi Ultimate Fighting Championship (UFC 229) mendapat perhatian Presiden Rusia, Vladimir Putin.

Putin telah mengadakan pertemuan dengan petarung kelahiran Dagestan, Rusia itu dalam sebuah forum yang berlangsung di Ulyanovsk semalam.

Dalam pertemuan tersebut, Khabib menyuarakan permohon maaf atas tindakannya menyerang kem McGregor selepas tamat perlawanan.

Petarung yang digelar The Eagle yang ditemani ayahnya Abdulmanap turut menjelaskan beliau tidak sanggup melihat keluarga dan negaranya dihina dan kemarahan itu lebih memuncak apabila lawannya dari Ireland itu memainkan sentimen agama dengan menggelar pengurusnya sebagai pengganas selain turut merendah-rendahkan Islam apabila beliau enggan meminum arak yang ditawarkan McGregor.

Putin bagaimanapun memuji sikap Khabib dan tanpa berselindung turut mempertahankan tindakan Khabib menyerang kem McGregor selepas perlawanan.

“Bukan cuma anda, semua rakyat negara ini (Rusia) juga sanggup terjun dari gelanggang jika mendapat penghinaan seperti itu.

“Saya berharap ayah anda tidak memberi hukuman berat kepada anda,” kata Putin secara berjenaka.

Terdahulu, Abdulmanap menegaskan beliau akan memberi hukuman lebih berat kepada anaknya itu berbanding hukuman yang diberikan UFC kerana menganggap tindakan anaknya seolah-olah tidak menghormati sukan tempur campuran itu.

Komen anda