KAPTEN Croatia, Luka Modric berkata kemenangan pasukannya ke atas England pada aksi suku akhir telah menutup mulut media Inggeris yang sebelum ini banyak menghentam pasukannya.

Menurut Modric, media Inggeris dan media antarabangsa lain sebelum ini banyak memberikan gelaran yang tidak baik kepada pasukannya, justeru beliau menjadikan kutukan tersebut sebagai motivasi untuk membuktikan mereka silap.

“Wartawan dan pengulas bola sepak mereka selalu mengatakan bahawa kami sentiasa kelihatan letih di atas padang dan menggelarkan kami seperti mayat hidup.

“Kata-kata itulah yang membuatkan kami lebih bersemangat untuk membuktikan mereka silap. Mereka sepatutnya lebih merendah diri dan menghormati pasukan lain,” katanya.

Pada masa sama, bintang Real Madrid itu turut menyifatkan pertemuan dengan England di separuh akhir itu sebagai penampilan terbaik Croatia pada edisi ke-21 ini.

“Selain aksi bertemu Argentina, inilah aksi terbaik kami. Kemenangan ini telah menjadikan impian kami satu realiti dan ia segala-galanya untuk kami.

“Kami telah mendominasi perlawanan sejak awal dan kami juga lebih baik dari aspek teknikal dan fizikal berbanding England. Tidak syak lagi kami layak berada di pentas akhir,” ujarnya.

Komen anda