Challenge Cup
Segmen Bola@mamak diberi peluang hak eksklusif untuk memperkenalkan trofi Challenge Cup buat pertama kali.

Bagaimana tercetusnya idea?
Satu detik sejarah terukir dalam bola sepak tempatan apabila buat pertama kalinya satu kejohanan yang dikenali sebagai Challenge Cup telah diperkenalkan oleh pada tahun ini dengan idea diilhamkan oleh Pengerusi Malaysian Football League (MFL) DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim. Ini adalah piala pertama atau pertandingan yang berformat piala pertama diperkenalkan oleh MFL sejak penubuhannya pada tahun 2015.


Apabila pasukan-pasukan meminta untuk memisahkan jadual perlawanan Liga dengan jadual perlawanan Piala Malaysia, didapati ada pasukan yang tidak akan mempunyai sebarang perlawanan kompetitif setelah jadual Liga tamat. Dengan itu, Challenge Cup diperkenalkan.

Dari sudut teknikal, pertandingan Challenge Cup ini amatlah penting bagi memastikan pasukan-pasukan dapat bersaing dengan lebih lama di dalam satu musim dan dengan itu, setiap pasukan dapat bersaing dalam perlawanan yang kompetitif sepanjang musim. Dengan adanya Challenge Cup, setiap pasukan yang bertanding akan mempunyai sekurang-kurangnya 6 perlawanan dan sekiranya layak ke final, pasukan tersebut akan mendapat 10 perlawanan keseluruhannya. Pemain-pemain juga mendapat peluang untuk menunjukkan bakat-bakat mereka di pentas baharu dan membolehkan mereka diintai oleh pihak pengurusan pasukan lain dan juga pasukan kebangsaan.

Dari sudut komersil, pasukan-pasukan yang bertanding berpeluang untuk mengemukakan kertas cadangan yang kukuh bagi mendapatkan penajaan disebabkan pihak penaja amat memerlukan kepastian dan ketentuan tertentu apabila mahu melaburkan duit mereka. Kepastian ini hanya dapat diberi dengan memastikan semua pasukan bertanding sepanjang musim, dan bukan terkeluar atau berehat selepas musim Liga tamat. Ini dapat mengukuhkan lagi pendapatan pasukan untuk berdaya saing dengan pasukan-pasukan yang lain.


Bagaimana logo dicipta?
Dengan semangat untuk membuat transformasi kepada industri bola sepak tempatan, pihak MFL mencetuskan tema dan konsep untuk pertandingan Challenge Cup yang bercirikan ‘Segar, Dinamik, Mencabar’. Pihak MFL mengalu-alukan pembabitan peminat-peminat bola sepak untuk memberikan idea untuk menghasilkan logo dengan mengadakan peraduan ‘Cabaran Mencipta Logo Challenge Cup’ bermula 31 Mei hingga 13 Jun 2018. Sebanyak hampir 100 penyertaan diterima dan akhir sekali 10 penyertaan yang disenaraikan telah diputuskan.

Setelah diteliti dan dan dipersetujui bersandarkan tema dan konsep yang diberikan, maka logo Encik Fizry Effendi Anuar dipilih sebagai pemenang. Pemenang telah menerima wang tunai sebanyak RM 5,000 dari MFL.
Trofi Challenge Cup

Setelah logo dicipta, pihak MFL mengambil inisiatif untuk menghasilkan trofi Challenge Cup. Trofi ini dicipta berdasarkan kepada logo yang dihasilkan dan hasil idea kreatif yang disumbangkan oleh pereka grafik MFL. Trofi ini diperbuat daripada tembaga bersalutkan perak seberat 9kg, setinggi 40cm.

Sejarah bakal terukir, pertempuran Terengganu FC II dan UKM FC, akan menjadi salah satu pasukan pertama yang mana nama pasukan akan terukir pada trofi tersebut.

 

Komen anda