KAPTEN England, Harry Kane percaya pasukannya boleh berbangga dengan prestasi keseluruhan pasukan pada edisi Piala Dunia kali ini meski pun perjuangan mereka terkandas di separuh akhir.

Walaupun kecewa tewas tatkala hampir sampai ke penghujung, Kane mengakui pasukannya boleh pulang ke England dengan perasaan bangga kerana mereka berjaya menutup mulut pengkritik yang sebelum ini meragui kemampuan mereka.

“Kami akan diselubungi kesedihan untuk beberapa ketika, tetapi kami akan pulang dengan perasaan bangga.

“Kami berjaya mara lebih jauh daripada jangkaan ramai orang. Jadi, kami hanya perlu belajar daripada kekalahan ini dan jadi lebih baik di masa akan datang.

“Saya percaya kami sudah membina satu tapak yang kukuh tahun ini, jadi kami hanya perlu meneruskan dan menggilapnya lagi untuk jadi lebih baik,” katanya.

Mengulas kekalahan di separuh akhir awal pagi semalam, Kane beranggapan tuah tidak memihak pasukannya, selain turut menyifatkan Croatia pasukan yang lebih baik dalam perlawanan ini.

“Dalam perlawanan besar seperti ini, hany margin kecil akan membezakan kedua-dua pasukan dan nampaknya kami tidak begitu bernasib baik.

“Kalau diikutkan kami boleh melakukan lebih baik daripada ini, tetapi pasukan lawan bermain sangat baik dan mereka telah menyukarkan kami,” ujarnya lagi.

Komen anda