Farhan tekad balas kepercayaan Arul

110

PEMAIN muda skuad hoki Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Muhammad Farhan Mohamad Zain tekad membalas kepercayaan diberikan ketua jurulatihnya, Arul Selvaraj dengan memberikan aksi cemerlang ketika turun bertemu pasukan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam saingan Liga Hoki Malaysia di Stadium Tengku Abdullah, esok.

Farhan yang baru berusia 19 tahun mengakui tidak menyangka berpeluang menyarung jersi kelab yang memenangi Piala TNB musim lalu itu selepas membantu melengkapkan barisan pemain UniKL tahun lalu.

“Secara jujur saya sendiri tak pernah menyangka dapat beraksi bersama UniKL sebab saya tahu bukan mudah untuk berada dalam pasukan.

“Segala-galanya bermula tahun lalu ketika majlis perasmian Stadium Tengku Abdullah di Bangi. Saya diminta beraksi dengan pasukan utama UniKL yang ketika itu tidak cukup pemain untuk perlawanan persahabatan bersama UniKL yang memenangi kejuaraan Liga Hoki Remaja pada 2010,” jelasnya.

Dalam pada itu, Farhan turut teruja kerana dapat beraksi bersama barisan pemain ternama seperti pemain kebangsaan, Muhammad Razie Abd Rahim dan Mohamad Sukri Abdul Mutalib selain tonggak import seperti Robert Kemperman serta Martijn Peter Havenga.

“Pada awalnya memang rasa janggal sebab saya beraksi dengan pemain kebangsaan dan import yang kesemuanya mempunyai nama besar.

“Begitupun mereka banyak memberi tunjuk ajar sekali gus memudahkan saya untuk menyesuaikan diri bersama pasukan dan ini bakal menjadi pengalaman berharga buat saya untuk mengembangkan lagi karier saya dalam sukan hoki.

“Jadi sudah pastinya kepercayaan yang diberikan ketua jurulatih akan saya manfaatkan sebaik mungkin untuk membantu pasukan meraih kemenangan nanti,” kata bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Dato Bentara Luar (SMKDBL).

Sementara itu, Presiden Kelab Hoki UniKL, Datuk Amir Azahar ketika menceritakan semula detik pertama kali melihat aksi Farhan mengakui amat tertarik dengan keberaniannya beraksi di sisi pemain utama UniKL.

“Bakatnya dikesan ketika dipanggil menyertai perlawanan pertunjukkan yang diadakan sempena majlis perasmian Stadium Tengku Abdullah (Battle of the Champions) pada 20 Ogos 2018.

“Ketika itu, Farhan merupakan mahasiswa UniKl MFI, Bangi dan dia antara yang paling menonjol daripada enam pemain yang terpilih dalam kalangan pelajar yang menyertai perlawanan itu.

“Saya yakin ini adalah permulaan penyertaan pemain dalam kalangan pelajar yang dijangka akan terus berkembang terutamanya apabila UniKL mula menawarkan program dalam bidangan Pengurusan dan Teknikal Sukan pada September depan,” katanya.

Komen anda