CUBAAN memporak-perandakan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) oleh pihak tertentu boleh membawa Selangor ke zaman kegelapan jika tidak dibendung.

Presiden Anak Selangor Fan Club (ASFC), Mohd Faizal Wahid berkata tindakan tersebut amat mendukacitakan apatah lagi apabila ia membuatkan presiden FAS, Raja Muda Selangor (RMS) Tengku Amir Shah murka.

Katanya, beliau tidak dapat membayangkan jika Tengku Amir terlalu kecewa sehingga melepaskan jawatan tertinggi badan induk itu yang mana ia sudah pasti menjadi satu petanda buruk buat The Red Giants.

“Bila Tengku Amir jadi presiden, kita dapat semula Stadium Shah Alam, dapat semula dana bola sepak. Bagi saya tiada siapa boleh menggantikan Tuanku.

“Saya tak pasti apa yang segelintir ahli gabungan ini mahukan. Dalam keadaan sekarang kita sudah tidak cukup masa. Sepatutnya kita perlu memperkuatkan pasukan bukannya mencetus polemik yang tidak masuk akal seperti ini,” katanya.

Mohd Faizal tidak menolak kemungkinan kemelut yang melanda ini bertitik tolak daripada pelantikan beberapa muka baharu yang masih muda untuk menggantikan pemegang jawatan terdahulu.

Ujarnya, pembaharuan dan kemajuan yang dilakukan muka baharu dalam FAS mungkin menyebabkan individu terbabit rasa kurang senang sehinggakan sanggup mendesak untuk diadakan Kongres Luar Biasa (EGM).

“Selangor di bawah kendalian muka baharu nampak lebih menjamin. Mereka buat pelbagai pembaharuan, mereka dekati penyokong-penyokong dan itu mungkin membuatkan individu-individu ini rasa tercabar.

“Saya harap perbalahan ini dapat dihentikan dengan segera. Semua pihak perlulah memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Tengku Amir dan muka baharu agar kegemilangan Red Giants dapat dikembalikan,” katanya lagi.

Komen anda