PERSATUAN Bolasepak Selangor (FAS) menafikan dakwaan sesetengah pihak berkaitan perlantikan dua naib presiden yang dikatakan tidak sah dan tidak mengikut perlembagaan.

Timbalan Presiden FAS, Datuk Seri Shahril Mokhtar berkata, perlantikan Izhar Moslim dan Dr Johan Kamal bagi mengisi kerusi naib presiden itu atas cadangan Presiden FAS, Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Al Haj pada 10 Julai lalu.

Jelasnya pelantikan kedua-dua individu terbabit menggantikan Datuk Lim Thean Seang dan Nizam Sani yang meletakkan jawatan tidak perlu dipertikaikan sebaliknya menyeru agar semua pihak memberi kerjasama dalam usaha melaksanakan transformasi persatuan.

“Dakwaan tersebut adalah tidak benar, sebagai contoh, dua Naib Presiden yang dilantik pada 10 Julai yang lepas, Encik Izhar Moslim dan Dr Johan Kamal Hamidon telah menjadi ahli di dalam kelab gabungan yang sah di bawah FAS.

“Kami mempunyai bukti yang secukupnya untuk menyangkal dakwaan ini,” ujarnya dalam kenyataan rasmi yang dikeluarkan FAS.

Tegasnya, daripada kenyataan yang disebarkan tersebut tidak ditandatangani oleh sesiapa dan tidak mempunyai sebarang sumber.

“Maka pada itu kami percaya ahli-ahli media akan berpegang kepada prinsip etika yang tertinggi, dan tidak melaporkan dakwaan-dakwaan tidak berasas sebegini.

“Malangnya terdapat dalang-dalang di dalam FAS yang hendak menentang usaha-usaha kearah mentransformasikan persatuan kesayangan ramai ini, memecahbelahkan kita dan menjejaskan kestabilan FAS.

“FAS sedang menjalankan siasatan terhadap kenyataan tersebut dan tidak akan teragak-agak untuk membuat laporan polis terhadap dalang-dalang dibelakangnya dan akan mengeluarkan kenyataan rasmi sebaik sahaja fakta-fakta telah diperoleh,” katanya.

Komen anda