FUFC lunaskan tunggakan gaji September

32

**media[148952]**
BARISAN pemain dan kejurulatihan Felda United kini mampu menarik nafas lega apabila pengurusan Felda United telah melunaskan tunggakan sebulan gaji, semalam.

Presiden FUFC, Anuar Malek berkata, bayaran gaji bagi September 2018 telah dibayar kepada semua pemain dan pegawai terlibat, Jumaat lalu.

"FUFC tidak pernah berdiam diri dalam isu tunggakan gaji selama tiga bulan iaitu September hingga November tahun lalu malah langkah penyelesaian telah diambil.

"Akhirnya kita berjaya mendapatkan dana untuk membayar gaji bulan September dahulu dan baki dua bulan lagi akan menyusul kemudian," ujarnya dalam satu kenyataan media, semalam.

Jelasnya, bayaran tunggakan sebulan gaji itu menunjukkan komitmen pihak pengurusan dalam usaha menjaga kebajikan pemain dan pegawai.

"Inilah kali pertama dalam sejarah pembayaran lewat gaji pemain sejak penubuhan FUFC. Masalah yang berpunca dari kekangan kewangan ini melanda Felda United berlaku tanpa diduga. Bagi menyelesaikan masalah ini, kita juga telah mendapatkan pandangan banyak pihak termasuk Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL)," ujarnya.

Beliau yang mengambil alih tugas sebagai presiden pada 4 Januari lalu menggantikan Datuk Ab Ghani Mohd Ali akan terus memperjuangkan hak pemain dan pegawai.

Anuar memberitahu, beliau telah membuat perancangan agar masalah kewangan tidak berlaku lagi pada masa depan.

"Diharapkan, isu kewangan ini tidak akan mengganggu fokus pemain serta pegawai bagi menghadapi musim 2019. Dan setiap masalah yang berlaku akan diselesaikan secara yg terbaik," tegasnya.

–tamat–

Komen anda