Harimau Selatan kena lebih agresif

48
MOHD FIRDAUS YON
Pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Luciano Figueroa mengakui pasukannya gagal memperagakan aksi terbaik pada separuh masa pertama ketika menentang Kuala Lumpur dalam saingan Liga Super di Stadium Tan Sri Hj Hassan Yunos, Larkin.
Bagaimanapun, beliau berkata, anak-anak buahnya berjaya bangkit pada separuh masa kedua dan memperbaiki beberapa kesilapan yang telah dilakukan.
“Kami juga melakukan serangan demi serangan sehingga berjaya mencipta empat gol, saya amat gembira.
“Namun, kami tetap perlu memperbaiki kesilapan dan bekerja dengan lebih gigih untuk perlawanan akan datang,” katanya selepas perlawanan tersebut.
Figueroa berkata, beliau sedar pertemuan dengan Kuala Lumpur akan menjadi satu perlawanan yang sukar buat anak-anak buahnya.
“Oleh sebab itu, kami perlu bekerja keras kerana kebanyakan pasukan akan bermain seperti itu iaitu sit back dan kemudiannya menyerang,” jelasnya.
Dalam pada itu, Figueroa belum mahu menakan ‘butang panik’ ekoran kegagalan penyerang muda, Safawi Rasid merobek gawang lawan dalam dua aksi Liga Super setakat ini.
“Dia cuba menjaringkan gol tetapi tidak berjaya, Bagaimanapun, saya merasakan dia bermain dengan baik pada separuh masa kedua.
“Saya gembira kerana apabila kami melakukan kesilapan, kami berusaha memperbaiki kesilapan tersebut sehingga semua berjalan dengan baik,” jelasnya.
Beliau juga mengakui pemain tempatan dalam skuad JDT kini berada dalam keadaan yang terbaik.

“Kesemua pemain tidak kira tempatan mahupun import telah melakukan yang terbaik. Mereka membuktikan bahawa semua pemain boleh bermain dan melakukan yang terbaik,” katanya.
Pada aksi kelmarin, gol JDT dihasilkan oleh Gonzalo Cabrera, Syafiq Ahmad, Diogo Luis Santo dan Azrif Nashrulhaq manakala gol sagu hati Kuala Lumpur dijaringkan Sylvano Dominique Comvalius.

Komen anda