NORMAWATI ADNAN

EXCO Kerajaan Perak, Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim umum meletak jawatan sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa) semasa sidang media selepas mesyuarat Exco Eksekutif Pafa di sini hari ini.
Hasnul Zulkarnain, 38, berkata, keputusan itu dibuat kerana mahu memberi fokus lebih besar dalam tugas hakiki selaku Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri dan ahli politik.
Menurutnya, dalam tempoh seminggu dua ini, kehidupan dan tumpuan kerjanya sedikit terganggu, namun masih mampu memberi fokus terhadap tugas-tugas dalam Pafa.
“Sehinggalah lewat sehari dua ini saya rasakan perlu lakukan sesuatu agar sukan ini dapat diteruskan dalam suasana lebih sihat tanpa ada unsur cuba menyakiti pihak lain,” katanya kepada pemberita.
Beliau berkata, keputusan peletakan jawatan itu tidak dipengaruhi mana-mana pihak, namun mengakui sedikit terguris dengan kontroversi yang berlaku membabitkan dirinya.
Katanya, meskipun telah menyatakan permohonan maaf, beliau tetap berdepan desakan meletak jawatan sedangkan kesalahan dilakukan bukanlah pecah amanah atau membawa keluar duit Pafa sewenangnya.
Ditanya sama ada dirinya menjadi mangsa buli siber atas komen keras dilemparkan, beliau berkata, keadaan sekarang boleh dikatakan begitu.
“Semua orang akan melaluinya, kekecewaan itu ada, tetapi kehidupan perlu diteruskan,” katanya.
Hasnul Zulkarnain berkata, pihaknya akan menghantar surat peletakan jawatan secara rasmi dalam masa terdekat ini.
“Saya serahkan pada barisan Exco (Pafa) untuk buat keputusan, apapun saya tetap ke arah itu (letak jawatan),” katanya.
Baginya, lima bulan mengendalikan Pafa adalah tempoh paling mencabar selaku presiden dalam usia yang masih muda.
“Sidang media pertama sebaik saya dilantik presiden dulu, saya berhasrat bawa pasukan Perak ke perlawanan akhir Piala Malaysia, saya kira saya dah laksanakannya, siapa sangka Perak juara setelah 18 tahun kita menagih kemenangan itu,” katanya.
Julai lalu, Adun Titi Serong itu menang tanpa bertanding pada Kongres Pafa ke-60 bagi jawatan presiden sesi 2018-2021 menggantikan Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan.
Kontroversi melibatkan dirinya tercetus sebaik Perak menang Piala Malaysia 2018 apabila beliau bergambar dengan trofi terbabit sebagaimana tular di media sosial.
Antara tindakan beliau yang tidak disenangi termasuklah membawa piala tersebut ke mana beliau pergi selain bergambar ketika makan mi segera di dalam bilik hotel dan di tepi kolam renang.
Meskipun telah menyatakan permohonan maaf, peminat dan kelab penyokong tetap mendesak agar beliau melepaskan jawatan.

 

Komen anda