Helmi telah selamat melakukan pembedahan dan kini dia sudah dipindahkan ke wad biasa. (Foto : Ahmad Fadali)

NOOR HAFIZA CHE ABDULLAH

HANYA kekuatan semangat dan doa akan membantu pemain UKM FC, Helmi Hariri Ibrahim yang kini terlantar di sebuah hospital pakar di ibu negara akibat patah tulang belakang kembali sembuh seperti sedia kala.Jurulatih UKM FC, Sulaiman Hussin akui dia sememangnya memahami perasaan Helmi sebagai pemain bola sepak profesional yang harus melupakan karier buat sementara waktu tatkala persiapan sedang giat berlangsung untuk menghadapi saingan Liga Premier 2018.

“Alhamdulillah, Helmi telah selamat melakukan pembedahan dan kini dia sudah dipindahkan ke wad biasa. Doktor juga berjaya tegakkan badan dia, cuma dia belum bersedia untuk beraksi musim ini kerana kecederaannya itu mengambil masa yang lama untuk pulih sepenuhnya.

“Apa pun, posisi Helmi selaku pemain tengah tetap kekal dan tidak akan diganti dengan mana-mana pemain.

“Dia telah banyak berjasa untuk UKM FC sebelum ini, kami akan kekal bersaing dengan 21 pemain. Walaupun sedih tapi kami perlu akur dan menerima hakikat akan kehilangannya.

“Saya bersama pemain akan terus memberikan semangat kepad Helmi bagi meneruskan proses rehabilitasi,” katanya.

Helmi antara tonggak utama pasukan yang memastikan kemaraan Liga Premier 2018.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM), Rezal Zambery Yahya, memuji tindakan UKM FC yang tidak menamatkan kontrak Helmi walaupun pemain itu tidak boleh beraksi akibat patah tulang belakang.

“Kami di PFAM merakamkan terima kasih kepada UKM FC kerana menjaga kebajikan Helmi,” kata Rezal.

Komen anda