Keningau meraikan kejayaan mara ke peringkat kebangsaan LBR 2017/18 musim ini.

HASRAT Kota Marudu beraksi julung kalinya di peringkat kebangsaan Liga  Bola Sepak Rakyat (LBR) 2017/18 musim ini tidak kesampaian setelah dinafikan Keningau.
Kota Marudu yang melayan kunjungan Keningau di Padang SMK Bandau  dikecewakan melalui sistem jaringan di tempat lawan setelah kedua-dua pasukan terikat dengan keputusan 2-2.
Pengendali LBR Kota Marudu Nickho Unui agak kecewa dengan keputusan tersebut kerana tidak menggunakan peluang sepenuhnya kelebihan bermain di tempat sendiri.
“Saya kecewa dengan keputusan seri di tempat sendiri di mana kita mempunyai kelebihan di awal perlawanan setelah salah seorang pemain pihak lawan mendapat kad merah.
“Babak kedua pemain keletihan disebabkan pemain terlibat perlawanan lain selain kejohanan LBR dan faktor padang yang agak becak menyukarkan rentak permainan.“Asakan demi asakan kita lakukan di masa kedua namun kita hanya berjaya mendapat satu gol untuk membawa perlawanan di kedudukan seri 2-2 sehingga tamat perlawanan.
Nickho turut menggesa pemainnya agar lebih komited dan menunjukkan disiplin yang tinggi bagi musim seterusnya untuk mencapai sasaran beraksi di peringkat Kebangsaan.
“Mereka perlu kerja keras sekiranya mahu mencapai misi kebangsaan, disiplin dan komitmen tinggi untuk setiap latihan dan perlawanan masa akan datang.
“Saya ucapkan ribuan terima kasih kepada semua keluarga, penyokong yang hadir memberi sokongan pada kali ini, mohon maaf kerana tidak dapat membawa Kota Marudu ke peringkat seterusnya,” katanya.Tawau dan Keningau akan beraksi mewakili Zon Sabah di peringkat kebangsaan musim ini.

Komen anda