PEMAIN perseorangan lelaki negara, Iskandar Zulkarnain Zainuddin akhirnya sah meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) selepas hampir 15 tahun bersama badan induk itu.

Berita mengenai perkara itu diumumkan Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria menerusi laman Instagram miliknya selepas mengadakan pertemuan dengan pemain berusia 27 tahun berkenaan.

“Bertemu dengan @iskandar.zulkarnain91 hari ini (semalam). Selepas hampir 15 tahun bersama @ba_malaysia, bekas naib juara remaja dunia itu memaklumkan mengenai hasratnya untuk meninggalkan BAM bagi mencari peluang dan pengalaman baharu.

“Terima kasih @iskandar.zulkarnain91 di atas segala pengorbanan, komitmen dan dedikasi kepada badminton Malaysia.

“Semoga anda berjaya dengan hala tuju baharu anda,” kata Norza menerusi keterangan gambarnya bersama Iskandar yang dimuat naik di Instagram.

Laporan media sebelum ini melaporkan pemain berasal dari Muar, Johor itu mengakui sedang mempertimbangkan keputusan bagi meninggalkan BAM selepas terus bergelut dengan prestasi hambar termasuk tersingkir di pusingan kedua Terbuka Macau, minggu lalu.

Antara pencapaian terbaik Iskandar sepanjang bergelar pemain kebangsaan adalah muncul naib juara Masters Malaysia 2016 selain membantu skuad negara meraih pingat gangsa pada saingan Piala Thomas 2016 di Kunshan, China.

Iskandar juga berjaya muncul juara Siri Antarabangsa Singapura dan Poland pada 2015 selain Cabaran Antarabangsa Switzerland 2015 dan Cabaran Antarabangsa Malaysia 2017.

Komen anda