Shaharol menunjukkan kertas cadangan yang telah mendapat persetujuan tertinggi KFA untuk dilaksanakan pada musim ini.

Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) menambah baik  jualan tiket musim ini dengan mengeluarkan kad keahlian penyokong Helang Merah berharga RM50 setahun.

Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Tiket dan Pintu Masuk KFA, Shaharol Niza Omar berkata, kad yang dinamakan KFA Priority Members akan dikeluarkan sebagai satu alternatif kepada peminat setia untuk jaminan mendapatkan tiket.

“Keahlian terbuka sehingga maksima 5,000 kad dan untuk permulaan sebagai promosi, KFA akan membuka 500 kad dan ahli terawal akan mendapat kemudahan masuk percuma perlawanan pertama di Stadium Darul Aman.

“Antara kemudahan kad ini adalah jaminan mendapatkan tiket bermula pusingan kedua Liga Super dan semua perlawanan Piala FA.

“Ia termasuk semua perlawanan Piala Malaysia dan semua perlawanan di peringkat suku akhir, separuh akhir dan akhir bagi semua jenis piala yang dipertandingkan,” katanya.

Bagaimanapun, kad ini tidak termasuk Piala Sumbangsih kerana dijalankan di Stadium Larkin.

Menurutnya, sebarang pendaftaran akan bermula Ahad ini dan peminat boleh terus ke pejabat KFA.

Selain itu permohonan juga boleh dibuat secara atas talian yang dikenakan caj proses sebanyak RM3.

“Kad ini punyai ciri-ciri  keselamatan tinggi dan sukar dipalsukan atau ‘duplicate’ kerana ada pengimbas kod QR,” katanya.

Selain itu, KFA juga memperkenalkan pas bermusim – kad platinum berharga RM1,200 dan tempat duduk bebas berharga RM800 (astaka utama), RM500 (berbumbung) dan RM300 (terbuka).

 

Komen anda