SEPANG – Atlet olahraga para negara Eddy Bernard mahu memberi tumpuan terhadap persediaan menghadapi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada November ini selepas kejayaan meraih pingat emas pada Sukan Para Asia 2018 di Indonesia yang menutup tirai malam tadi.

“Untuk tahun ini, kalendar saya sebagai atlet sudah tamat dan saya berpuas hati dengan pencapaian keseluruhan saya pada tahun ini.

“Saya akan terus berusaha untuk mencapai kejayaan dalam beberapa kejohanan selepas ini namun saya akan berehat seketika bagi memberi tumpuan kepada SPM,” katanya ketika ditemui pemberita setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, di sini, bersama beberapa atlet para negara lain.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Beluran, Sabah itu meraih emas dalam acara lompat jauh lelaki T44, T62/64 (kecacatan kaki) pada Sukan Para Asia 2018 dengan catatan rekod baharu temasya iaitu 6.30 meter.

Eddy pernah memenangi pingat emas acara 100 meter dan lompat jauh T37 pada Sukan Para Asean Kuala Lumpur 2017.

Terdahulu, ketibaan atlet para negara berkenaan disambut oleh Pengarah Bahagian Khidmat Pengurusan Majlis Sukan Negara (MSN) Hazani Hashim dan Pengarah Bahagian Kewangan MSN, Zulkifli Alias. – Bernama

 

Komen anda