KBS sedia rungkai masalah Akademi Badminton Malaysia

83
Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bersama-sama Majlis Sukan Negara (MSN) akan mengadakan satu sesi perjumpaan dengan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bagi membincangkan secara menyeluruh permasalahan yang melanda Akademi Badminton Malaysia (ABM).

Media tempatan semalam melaporkan, sumber yang terbabit dengan urusan ABM mendakwa kerajaan sebelum ini sudah meluluskan peruntukan awal sebanyak RM16 juta untuk tempoh 2019 hingga 2020, namun dana itu masih belum diterima, sekali gus mengganggu operasi akademi berkenaan.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, pihaknya akan memperhalusi isu dana yang dijanjikan oleh kepimpinan KBS sebelum ini.

“Berkenaan dana yang dijanjikan itu, saya perlu perhalusi nilai yang telah dijanjikan sebelum ini. Ia tidak dijanjikan oleh kerajaan baharu tetapi apa yang mustahak sekali, kalau ada cara di mana kita boleh bantu pembangunan sukan badminton secara menyeluruh, memang kita akan lakukan bersama.

“Jadi bagi membincangkan isu ini kita akan adakan perjumpaan dengan BAM dan dalam masa sama kita akan adakan satu townhall dengan kelab badminton swasta. Dari situ kita akan dapat lihat apa yang boleh dibantu untuk selesaikan isu ABM,” katanya kepada media selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) KBS, di Seri Kembangan, semalam.

Pada majlis itu, 402 warga kerja “Team KBS” dari pelbagai gred dan skim perkhidmatan dalam kalangan warga kerja KBS termasuklah agensi seperti Majlis Sukan Negara (MSN), Institut Sukan Negara (ISN) dan Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) menerima APC masing-masing.

Mengulas lanjut mengenai ABM, Syed Saddiq berkata, KBS telah menyerahkan ABM kepada BAM di mana ia telahpun digunakan sepenuhnya untuk sesi latihan termasuk menempatkan 70 pemain di situ.

“Sebelum ini tidak boleh terus pindah ke ABM kerana ada sedikit kerosakan tapi sekarang sudah diperbaiki. Ia di bawah PSM. Sekarang akan ada rundingan bersama pihak BAM untuk pastikan ia bergerak ke depan,” katanya.

Untuk rekod, bangunan akademi yang dilengkapi pelbagai kemudahan dengan kos sebanyak RM31 juta itu sudah siap dibina awal tahun lepas, namun sehingga hari ini ia masih gagal dimanfaatkan sepenuhnya.

Hanya beberapa kemudahan termasuk 18 gelanggang latihan, bilik pejabat yang menempatkan pengurusan BAM, gimnasium, pusat rehabilitasi, auditorium dan bilik mesyuarat telah digunakan. – Bernama

Komen anda