Kelantan buru tiga pemain bintang

145

MAZRAM IDZAM RIDZAL MAHMUD

TIGA pemain berstatus ‘bintang’ kini menjadi buruan Kelantan bagi memperkuatkan cabaran skuad pantai timur itu mengharungi saingan Liga Premier musim ini.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kelantan Red Warriors (KRW) Sdn Bhd, Fazli Mohammad mengesahkan tiga pemain nama besar itu semakin hampir menyarung jersi Kelantan, sebelum tarikh tutup pendaftaran berakhir 20 Februari ini.

Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan identiti tiga pemain berkenaan kerana tidak mahu timbul sebarang masalah ketika pihaknya masih dalam fasa rundingan untuk membawa trio itu ke Kota Bharu.

“Insya-ALLAH benda (penyertaan pemain) itu pasti berlaku sebelum 20 Februari ini. Cuma saya tak boleh nak sebut pemain mana, (tapi) biasalah kalau bertaraf bintang kita perlukan bajet agak besar.

“Dengan (peruntukan) gaji pemain semusim (2019) kita sudah ada, ditambah pemain baharu nanti kita perlu menstrukturkan sedikit kewangan untuk mendapatkan mereka,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Media tempatan sebelum ini melaporkan bekas penyerang Harimau Malaya, Mohd Safee Sali antara beberapa pemain tempatan dikaitkan dengan perpindahan ke The Red Warriors (TRW).

Beliau memberitahu, KRW Sdn Bhd selaku entiti yang bertanggungjawab menguruskan skuad Liga Perdana Kelantan musim ini akan meneruskan siri perbincangan dengan pemain tersebut bagi memuktamadkan keputusan akhir.

“Apa yang boleh saya beritahu, akan ada kejutan dengan kehadiran pemain di beberapa posisi dalam pasukan ini.

“Malah dengan penaja baharu akan masuk dalam masa terdekat ini, ia akan menambahkan percikan bunga api kepada bola sepak Kelantan,” katanya ringkas.

Komen anda