Amirudin bersama Badan Bertindak Penyokong Selangor di majlis penyerahan memorandum yang berlangsung di pejabatnya pagi tadi.

MOHAMAD FAZRUL ABDUL MAJID

KERAJAAN Selangor masih boleh berkompromi dengan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) berkenaan isu mengembalikan Stadium Shah Alam sebagai gelanggang rasmi pasukan.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan Selangor, Amirudin Shari berkata, pihaknya sedia menjernihkan kembali hubungan kedua-dua pihak, namun dengan syarat FAS perlulah bertolak ansur dan memberikan komitmen penuh untuk menyelesaikan kemelut yang berlaku ini.

“Saya telah memulakan perbincangan dengan wakil FAS minggu lalu melalui dua pertemuan bagi menyelesaikan masalah ini.

“Tapi, apa yang saya tekankan ialah kedua-dua pihak perlu bertolak ansur untuk mencari titik penyelesaian yang pada akhirnya boleh memberi manfaat kepada penyokong bola sepak Selangor. Jadi kata kuncinya ialah tolak ansur.

“Bagi pihak kerajaan negeri, kita mahukan komitmen daripada FAS untuk mengendurkan beberapa perkara. Jika mereka bersedia, malahan kita boleh kembali seperti dulu iaitu mengembalikan dana kepada FAS untuk sukan bola sepak,” katanya yang ditemui ketika penyerahan memorandum Badan Bertindak Penyokong Selangor di pejabatnya di Shah Alam pagi tadi.

Tambah Amirudin lagi, beliau memahami kehendak penyokong-penyokong Selangor untuk mengembalikan Stadium Shah Alam yang dianggap stadium keramat buat mereka.

Beliau juga menyambut baik usaha yang telah dilakukan itu, namun jelasnya beliau belum dapat memberikan sebarang jaminan adakah stadium itu akan dikembalikan dalam masa terdekat.

“Insya-ALLAH sedangkan gerhana pun boleh selesai inikan pula harapan penyokong Selangor untuk kembali ke Shah Alam.

“Tapi saya tidak boleh mengatakan sejauh mana perkara ini boleh diselesaikan dengan cepat kerana semuanya masih di peringkat awal perbincangan dan masih dalam usaha untuk mengenal pasti opsyen-opsyen dan cadangan yang bersesuaian.

“Namun, sekali lagi saya tegaskan, tolak ansur! Jika keadaan masih lagi tegang, saya tidak boleh menjamin apa-apa untuk selesaikan masalah ini.

“Cuma yang pasti ianya tidak akan dapat direalisasikan dalam masa terdekat iaitu perlawanan home pertama mereka pada 7 Februari ini. Saya selesa mengatakan bahawa mungkin pada pusingan kedua nanti perkara ini boleh diselesaikan,” katanya lagi.

 

Komen anda