Ketiga terbaik milik Petaling BC

183
Jorgensen cemerlang meletakkan Petaling BC di depan apabila menang 3-1 (11-6, 11-9, 6-11, 11-7) mengatasi pemain Ampang Jaya BC, Leverdez dalam perseorangan lelaki.

KELAB Badminton (BC) Petaling menebus kegagalan gagal ke final SS Purple League (SSPL) 2018/19 selepas tewas 7-10 kepada Puchong United BC dalam separuh akhir semalam apabila menumpaskan Ampang Jaya BC 11-7 dalam perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat di Arena Of Stars, Resorts World Genting tadi.

Ketua jurulatih Petaling BC, Ismail Saman berkata, “Sebenarnya dari awal memang Petaling sasarkan kedudukan ketiga. Cuma kita mengharapkan dapat mara ke final namun kita tidak menggunakan peluang tersebut sepenuhnya. Apapun, kita gembira kerana ini adalah persembahan terbaik Petaling BC tahun ini.”

“Secara keseluruhan, saya berpuas hati dengan apa yang dipersembahkan pemain cuma untuk musim depan sedikit kelemahan dalam beregu lelaki dan beregu campuran harus diperbaiki lagi,”kata Ismail.

Jan O’ Jorgensen cemerlang meletakkan Petaling BC di depan apabila dia menang 3-1 (11-6, 11-9, 6-11, 11-7) mengatasi pemain Ampang Jaya BC dari Perancis, Brice Leverdez dalam perseorangan lelaki.

Bagaimanapun, Ampang Jaya berjaya bangkit semula dalam perseorangan wanita menerusi pemainnya, Pornpawee Chochuwong yang mengatasi Yip Pui Yin 3-1 (11-9 8-11 11-9 11-10).

Aksi semakin sengit dalam acara beregu lelaki selepas itu namun dikuasai oleh Man Wei Chong- Shia Chun Kang dari Petaling BC dengan keputusan 3-2 (11-9, 10-11, 11-6, 7-11, 11-6) mengatasi Chooi Kah Ming- Low Juan Shen. Keputusan itu membolehkan Petaling BC mendahului 7-6.

Petaling BC semakin kukuh apabila menang dalam acara beregu campuran melalui Chen Tang Jie- Peck Yen Wei yang menewaskan Chau Hoi Wah- Lukhi Apri Nugroho 3-1 (10-11, 11-4, 11-7, 11-9), membolehkan Petaling BC di depan 10-7.

Cheam June Wei yang turun dalam satu lagi perseorangan lelaki selepas itu tidak menghampakan Petaling BC. Kemenangan 1-0 (11-8) yang diraihnya ke atas Tan Jia Wei sudah cukup membawa pasukannya meraih kedudukan ketiga SSPL musim ini.


Dalam perlawanan penentuan tempat ke-5/6, gandingan Boontun- Ponsana juga tampil cemerlang menyumbangkan mata buat Tebrau City untuk menghuni kedudukan kelima SSPL musim ini.

Dalam pada itu, pendatang baru, Tebrau City BC boleh berbangga dengan kedudukan kelima yang diraih kelab itu apabila menewaskan Serdang BC 9-2 dalam perlawanan penentuan tempat ke-5 dan ke-6 tengah hari tadi.

Mengulas mengenai pencapaian Tebrau City musim ini, pengurusnya Lim Kenn nyata berpuas hati dan menjadikan penyertaan sulung mereka dalam saingan SS Purple League untuk meraih pengalaman.

Lim Kenn berkata, “Kami tidak menyangka berjaya menang mudah kerana semasa bertemu di peringkat pertama SSPL dulu, kami tewas kepada Serdang BC. Saya rasa kemenangan Adulrach Namkul dalam acara perseorangan lelaki yang mengatasi Leong Jun Hao adalah titik tolak kejayaan kita hari ini,”

“Ini adalah musim pertama dan banyak pembelajaran yang kami perolehi. Untuk musim depan, kami sudah tahu apa yang boleh dilakukan. Mungkin kami akan memberikan pendedahan kepada pemain tempatan dan juga pemain muda. Bukan senang untuk pemain muda memperoleh peluang bermain dalam kejohanan berpasukan dan juga secara langsung seperti ini.

“Kita akan berbincang dengan pengurusan pasukan untuk menentukan hala tuju musim depan,”kata Lim Kenn selepas perlawanan.

Juara SSPL 2018/19 akan menerima hadiah wang berjumlah RM520,000. Naib juara pula menerima RM265,000, ketiga RM185,000, keempat RM160,000, kelima RM130,000, keenam RM110,000, ketujuh RM70,000 dan kelapan RM60,000.

June Wei yang turun dalam satu lagi perseorangan lelaki juga tidak menghampakan Petaling BC apabila meraih kemenangan ke atas Tan Jia Wei.

Komen anda