KHABIB Nurmagomedov. Satu nama yang tiba-tiba sahaja menjadi bualan di seluruh dunia selepas kejayaannya menundukkan satu nama besar dalam sukan tempur campuran (MMA), Conor McGregor hujung minggu lalu.
Bagi peminat MMA terutama yang mengikuti dengan lebih dekat Ultimate Fighting Championship (UFC) pastinya sudah cukup kenal dengan petarung beragama Islam yang digelar The Eagle berasal dari Dagestan ini.
Apa tidaknya, figura berusia 30 tahun itu kini memegang rekod 27 kemenangan tanpa kalah yang mana itu merupakan satu rekod yang jarang dicipta di pentas MMA.

Permulaan karier

Khabib dilahirkan di sebuah daerah kecil di Tsumadinsky, Dagestan. Beliau merupakan anak kedua daripada tiga orang adik beradik dan bapanya, Abdulmanap Nurmagomedov merupakan seorang pesara tentera, atlet dan jurulatih sukan tempur.

Sejak kecil lagi, Khabib sudah didedahkan dengan sukan ini yang mana beliau juga terlibat dalam latihan kombat di usia muda.
Ketika berumur 12 tahun, Khabib mula melibatkan diri dengan lebih serius dalam sukan gusti dan seterusnya di usia 15 tahun beliau beralih pula kepada sukan judo. Selepas berhijrah ke Kiev, Ukraine, Khabib yang berumur 17 tahun pada waktu itu didedahkan pula dengan sukan sambo.
Dari petarung jalanan ke pentas UFC

Di usia remajanya Khabib banyak terjebak dengan pergaduhan di jalanan sebelum ditunjukkan jalan untuk menceburkan diri dalam sukan MMA.

2008 menjadi tapak pertama untuk Khabib beraksi di pentas MMA. Dalam masa sebulan sahaja menjadi petarung, Khabib sudah berjaya meraih empat kemenangan.
Apabila beliau mencapai 16 kemenangan tanpa tewas, UFC mula menunjukkan minat terhadap Khabib dan telah memberikan kontrak kepadanya untuk enam perlawanan.
Debutnya di UFC ialah bertemu Kamal Shalorus dalam kategori lightweight pada awal tahun 2012. Khabib hanya memerlukan tiga pusingan untuk menewaskan lawannya itu.
Pada 2013, nama Khabib mula menjadi bualan peminat UFC apabila beliau mencipta rekod baharu melakukan 21 jatuhan daripada 27 percubaan ketika bertemu Abel Trujillo.
Bagaimanapun, setahun selepas itu kecederaan mula membelenggu Khabib dan beliau terpaksa berehat hampir dua tahun sebelum ditawarkan kontrak baharu pada September 2016 menentang Eddie Alvarez untuk merebut tali pinggang UFC Lightweight.
Namun, perlawanan itu dibatalkan apabila anak emas UFC, McGregor menggunakan jalan belakang untuk menafikan hak Khabib dan selepas itu Presiden UFC, Dana White mengumumkan McGregor yang akan bertarung untuk merebut gelaran tersebut.
Pada April 2018 barulah Khabib berpeluang mencabar tali pinggang Lightweight yang mana kali ini Khabib tidak menoleh kebelakang untuk menundukkan Al Iaquinta sekali gus menjadi petarung dari Rusia dan beragama Islam pertama memenangi gelaran di UFC.
Kejayaan itu membuatkan saham Khabib terus meningkat dan kemuncaknya beliau diberi penghormatan untuk mencabar tali pinggang tersebut dengan UFC memilih calon terbaik iaitu McGregor sebagai pencabarnya berikutan petarung kelahiran Ireland itu kini menjadi atlet MMA berprofil tinggi di dunia.
Tanpa disangka, kemenangan telah berpihak kepada Khabib sekali gus mencatat kejayaan 27-0 sepanjang kariernya di pentas MMA.

Komen anda