KHM tak sambung kontrak Walsh

100

Kontrak Pengarah Teknikal Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) Terry Walsh yang berakhir pada penghujung Mac ini tidak akan disambung.

Presiden KHM, Datuk Seri Subahan Kamal ketika mengumumkan perkara itu berkata, Walsh bersetuju untuk melepaskan jawatannya yang berakhir pada 31 Mac 2019 selepas mengambil kira nasihat daripada badan induk itu.

Subahan berkata, faktor utama kontrak Walsh tidak disambung adalah kekangan kewangan KHM yang kini perlu berjimat cermat dalam pengurusan persatuan itu.

“Terry bukan nama asing dalam pencapaian sukan hoki negara. Beliau banyak membantu skuad negara meraih pelbagai kejayaan.

“Masalah kewangan yang saya maksudkan itu adalah kami perlu berbelanja mengikut keperluan. Peruntukan yang ada perlu digunakan dengan lebih berhemah,” katanya pada sidang media di Pejabat KHM, Stadium Hoki Nasional Malaysia, Bukit Jalil semalam.

Subahan berkata, KHM tidak bercadang untuk melantik individu lain bagi mengisi kekosongan jawatan itu ketika ini dan perbincangan semula akan dilakukan pada April depan.

Beliau percaya ketua jurulatih, Roelant Oltmans dan pengurus, Stephen Van Huizen mampu mengendalikan pasukan terutamanya menghadapi Siri Hoki Final di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil dari 23 April sehingga 1 Mei depan.

Penganjuran kejohanan itu membuka satu lagi ruang kepada Malaysia untuk layak ke Sukan Olimpik 2020, namun ia dilihat lebih sukar berbanding untuk memenangi pingat emas Sukan Asia 2018 di Jakarta.

Selepas lebih tiga tahun bersama skuad hoki kebangsaan, Walsh berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira nasihat daripada KHM.

“Selepas lebih tiga tahun sebagai Pengarah Teknikal MHC, saya mengambil keputusan untuk melepaskan jawatan dan saya telah memaklumkan kepada MHC mengenai keputusan saya.

“Saya berasa gembira kembali ke Malaysia dan bekerjasama dengan beberapa individu yang dikagumi. Seperti yang saya katakan semasa pelantikan saya bahawa terdapat banyak perubahan positif dalam pentadbiran sukan di sini. Saya juga percaya bahawa pasukan Malaysia ber potensi untuk menjadi antara pasukan terulung di dunia.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada presiden MHC, Datuk Seri Subahan kerana terus memberi sokongan dan juga semua kakitangan MHC yang bekerjasama dengan saya sepanjang tiga tahun saya berkhidmat,” kata Walsh. – Bernama

Komen anda