Kitchee ikrar gempur Perak habis-habisan

275

JUARA Liga Hong Kong, Kitchee SC akan berjuang habis-habisan meskipun sedar Perak mempunyai kelebihan selaku tuan rumah bagi aksi pusingan kelayakan kedua Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Perak di sini, esok.

Pengendalinya, Alex Chu berkata, pada perlawanan itu nanti beliau berharap penyerang utama dari Brazil, Lucas Espindola da Silva akan beraksi sebaik mungkin sekali gus berjaya membantu pasukan mara ke pusingan kelayakan ketiga ACL.

“Kitchee SC mempunyai beberapa pemain import dan kekuatan kita sudah pasti disandarkan kepada Lucas yang juga penjaring terbanyak Liga Hong Kong musim lalu dengan lapan gol.

“Lucas beraksi cemerlang dalam saingan liga kita (Liga Hong Kong) dan dia adalah pemain terbaik yang kita ada dan diharapkan akan ada sentuhan magis daripadanya,” katanya pada sidang media di Stadium Perak di sini, hari ini.

Sekiranya memenangi pusingan kelayakan kedua tersebut, Kitchee SC akan berdepan dengan kelab dari Korea Selatan, Ulsan Hyundai.

Beliau berkata, Perak juga bukan calang-calang pasukan dan status selaku juara Piala Malaysia 2018 membuktikan anak didik Mehmet Durakovic akan memberikan tentangan sengit kepada pasukannya.

“Saya telah lihat aksi Perak menentang Kedah dua hari lalu dan apa yang dapat dirumuskan adalah mereka bukan lawan yang mudah untuk dijinakkan tanpa persediaan yang rapi,” katanya.

Selain itu, katanya, cuaca panas yang mencecah sehingga 34 darjah Celcius sudah pasti sedikit sebanyak akan menyukarkan anak buahnya, namun ia bukan halangan untuk meraih kemenangan.

Sementara itu, Lucas berkata beliau bersedia mempamerkan persembahan terbaik dalam perlawanan itu selain tidak akan mensia-siakan harapan tinggi yang diletakkan jurulatih serta pihak pengurusan Kitchee SC.

“Saya fikir hanya kemenangan akan melayakkan kita untuk ke peringkat seterusnya walaupun saya sedar Perak akan menerapkan corak permainan pantas untuk mencari gol awal sekali gus memenangi perlawanan,” katanya. – Bernama

Komen anda