BIARPUN apa kata pengkritik, jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei selayaknya digelar pemain Malaysia terbaik sepanjang zaman (‘Greatest of All Time’ @ GOAT) selepas kejayaannya merangkul rekod gelaran ke-12 Terbuka Malaysia Celcom Axiata di Axiata Arena baru-baru ini.

Berdepan lawan yang 12 tahun lebih muda, Chong Wei, 35 hanya menerima tentangan sengit pada set kedua sebelum mengesahkan kemenangan 21-17, 23-21 dalam 70 minit.

Tidak tewas walau satu set sekali pun sepanjang kejohanan, Chong Wei melebarkan dominasinya dalam kejohanan tempatan itu sejak 2004, hanya dinafikan gelaran tiga kali dalam tempoh 15 tahun iaitu kepada Peter Gade (2007), Chen Long (2015) dan Lin Dan (2017).

Jika di dalam bola sepak Piala Dunia, gelaran GOAT menjadi perebutan antara Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo, tidak keterlaluan untuk menggelar Chong Wei sebagai ‘GOAT’ Malaysia.

Tiada siapa yang mampu mengejar rekod 12 gelaran Terbuka Malaysia Celcom Axiata miliknya, dan ketika ramai pemain seangkatannya, Peter Gade Christensen (Denmark) dan Taufik Hidayat (Indonesia) sudah menggantung raket mereka, Chong Wei mensasarkan untuk beraksi sehingga dua tahun lagi dalam misinya untuk melengkapkan mahkota dunia dan emas Olimpik di Tokyo.

Pastinya sukar untuk membayangkan kisah badminton negara tanpa Chong Wei dengan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Norza Zakaria menjadikan bekas pemain nombor satu dunia itu sebagai ‘ikon’ yang seharusnya dicontohi pemain muda lain seandainya mahu bergelar juara.

-end-

 

Komen anda