MENAKUTKAN. Mungkin itu yang dapat digambarkan terhadap masalah tunggakan gaji Liga Malaysia (Liga-M) yang masih belum berkesudahan.

Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM), Izham Ismail mendedahkan, untuk tahun 2018 sahaja terdapat peningkatan terhadap jumlah pasukan yang gagal membayar gaji pemain.

“Bagi musim 2018, anggaran jumlah tunggakan terkumpul semua pemain yang dilaporkan kepada PFAM sudah mencecah hampir RM4 juta. Angka ini mencerminkan betapa rendahnya nilai profesionalisme pasukan – yang walaupun pasukan mungkin mempunyai alasan tersendiri, namun perlu dipersetujui ia berpunca daripada sebuah urustadbir yang lemah, tidak berpandangan jauh dan paling menyedihkan, tidak mengukur baju di badan sendiri.

“Masakan tidak, tunggakan yang terjadi bukan hanya satu atau dua bulan, namun ada yang berjumlah sebanyak 8 bulan (tak dapat gaji sepanjang musim!). Bayangkan, anda bekerja dan tidak menerima gaji, pada masa yang sama anda juga mempunyai komitmen untuk dilunaskan, pada masa yang sama juga, anda perlu terus patuh kepada arahan pasukan dan boleh dikenakan denda jika mengingkarinya.

“Ini sememangnya merupakan suatu penganiayaan, dan dalam diam saya boleh katakan, inilah sebuah ‘Penghambaan Moden’, dan lebih malang, kita seakan bersetuju dengan situasi ini,” katanya menerusi satu kenyataan.

Dalam pada itu, Izham turut kesal dengan sikap beberapa pasukan yang tidak mengendahkan langsung arahan dan amaran yang diberikan, malah menjadikan undang-undang bola sepak negara seperti tiada makna.

“Saya kesal, pasukan seperti DBKL FC, Kuantan FA, Terengganu City dan Kelantan masih berdegil sekalipun sudah mendapat arahan FAM. Saya juga berharap pasukan Perlis dan Pulau Pinang, berpegang kepada janji untuk melangsaikan hutang sepertimana yang dipersetujui dan bukan sekadar gimik bagi membolehkan mereka beraksi di saingan musim hadapan.

“Manakala pasukan-pasukan yang sudah ‘tiada’ seperti Marcerra United dan Hanelang, pengurusannya digesa untuk tampil dan bertanggungjawab dalam menyelesaikan masalah yang kalian mulakan.

“Selain itu, terdapat juga pasukan-pasukan lain yang turut mempunyai tunggakan gaji, namun atas dasar etika kerana kes masih belum lagi diputuskan oleh FAM, maka kami tidak menyebutnya. Pun begitu, kami juga menggesa agar pasukan-pasukan ini melunaskan tunggakan tanpa perlu menunggu kes diputuskan oleh FAM,” katanya lagi.

Tambah Izham, beliau dan PFAM akan terus memperjuangkan hak pemain dan pada masa sama berharap pihak FAM dapat mengurangkan kerenah birokrasi dalam mengambil tindakan kepada pasukan kerana masalah itu menjadi antara punca sesetengah pasukan ‘naik tocang’ dalam menyelesaikan masalah gaji pemain.

Komen anda