LIGA Premier Sosial Selangor (SSPL) 2018 sudah pun melabuhkan tirainya dengan RRM FC muncul selaku juara keseluruhan.

Dalam perlawanan akhir RRM FC dan MK Boskay memerlukan kemenangan untuk muncul juara selepas kedua-dua pasukan terikat dari segi mata keseluruhan.

Namun, tuah lebih memihak RRM FC apabila mencatat kemenangan besar ‘luar biasa’ 30-0 ke atas Pandan FC, sekali gus muncul juara tahun ini.

MK Boskay pula terpaksa berpuas hati di tangga kedua walaupun pasukan itu turut mencatat kemenangan besar 23-0 ke atas Kijang Legend FC.

Bagaimanapun disebalik kemenangan itu, timbul desas-desus tidak baik yang mengatakan perlawanan akhir SSPL itu terpalit dengan gajala rasuah dan mengatur perlawanan.

Ini berikutan kemenangan luar biasa besar yang dicatat dua pasukan yang mahu mengejar kejuaraan tersebut, sekali gus mendapat reaksi negatif ramai pihak termasuk pemerhati liga berkenaan.

Malah, ada di antara mereka turut melabelkan liga tersebut sebagai liga sampah, selain turut menyifatkan landskap bola sepak Malaysia dan Selangor, khususnya, tidak akan maju dengan insiden memalukan seperti ini.

 

Paparan skrin daripada seorang peminat mengenai perlawanan akhir SSPL itu.

Bagaimanapun, perkara ini telah mendapat perhatian Football Selangor (FS) yang merupakan satu badan yang bertanggungjawab membangunkan program-program bola sepak komuniti seperti Selangor Champions League yang mana SSPL merupakan salah satu ahli gabungan di dalam projek Affiliate League oleh Football Selangor.

Dalam satu kenyataan di laman rasminya, FS mengakui sedang menyiasat kes ini selain pihaknya juga menegaskan tidak akan berkompromi jika saingan liga itu terpalit dengan unsur tidak sihat.

Kenyataan daripada Football Selangor

“Pihak Football Selangor mengambil perhatian dan peka mengenai isu perlawanan bagi SSPL yang berlangsung pada 8 Julai yang lalu dan pihak Football Selangor sedang menyiasat isu ini dengan kerjasama pihak penganjur SSPL, pegawai rasmi kejohanan dan beberapa pihak lain.

“Football Selangor ingin menegaskan bahawa kami menentang sekeras-kerasnya budaya yang menggalakkan kurang semangat kesukanan dan budaya mengatur perlawanan dan sebarang aktiviti yang mengandungi unsur ini akan diambil tindakan keras jika berlaku dalam kalangan Affiliate League, Community Clubs dan Selangor Champions League.

“Pihak Football Selangor ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak penganjur SSPL kerana memberikan kerjasama yang terbaik dalam menangani isu ini. Semoga bola sepak komuniti di Selangor mengambil iktibar dari isu ini dan terus menjalankan langkah-langkah untuk membendung gejala ini,” tulis kenyataan tersebut.

Komen anda