Ramos hormati keputusan Ronaldo mahu berhijrah ke Juventus musim depan

KAPTEN Real Madrid, Sergio Ramos mengakui keputusan mengejut Cristiano Ronaldo untuk menyertai Juventus musim depan satu kehilangan besar buat kelabnya.

Walaupun sedih dengan keputusan tersebut namun Ramos yang beraksi bersama Ronaldo selama sembilan musim di Bernabeu berkata, dia sentiasa menghormati Ronaldo dan akan terus memberi sokongan kepada pemain berusia 33 tahun itu meskipun tidak lagi menyarung jersi yang sama.

Real malam tadi mengumumkan perpindahan Ronaldo ke Juventus, dengan bintang Portugal itu mengatakan masanya sudah tiba ‘untuk membina karier baharu’.

Bagaimanapun, Real tidak mendedahkan nilai sebenar perpindahan terbabit tetapi media Sepanyol melaporkan ia mungkin mencapai 105 juta euro (RM494.65 juta) dengan pemain berusia 33 tahun itu menandatangani kontrak selama empat tahun bernilai 30 juta euro (141.27 juta) semusim.

“Jumlah gol dan semuanya yang dimenangi bersama membuktikan kepada mereka mengenai kehebatan kita.

“Anda sudah mendapat tempat istimewa dalam sejarah Real Madrid sebagai ‘Madridistas’ dan kami akan sentiasa mengingati anda.

“Ia satu penghormatan bermain di samping anda. Selamat maju jaya,” tulis Ramos dalam akaun Twitter miliknya dengan disertakan gambar bersama Ronaldo meraikan kejayaan.

Ronaldo berjaya menyumbat 450 gol dalam 438 penampilan bersama Real dalam keseluruhan kejohanan, dengan memenangi empat kejuaraan Liga Juara-Juara dan empat kali merangkul trofi La Liga dalam tempoh sembilan musim bersama gergasi Sepanyol itu.

Komen anda