Lupakan episod duka Selayang, masa kebangkitan di Kota Bharu

379
KAPTEN The Red Warriors (TRW), Cassio De Jesus mahu rakan sepasukannya melupakan kekalahan di Selayang, sebaliknya fokus memburu kemenangan pertama menentang Sabah dalam aksi Liga Perdana di Stadium Sultan Muhammad IV di sini, Jumaat ini.
Cassio berharap rakan pasukannya menambah duka skuad kendalian Jelius Ating yang kalah 1-2 kepada JDT II di gelanggang sendiri pada perlawanan pertama mereka, tempoh hari.
“TRW sudah lupakan kejutan di Selayang dan sepatutnya memberi tumpuan penuh aksi menentang Sabah, Jumaat ini.
“Sabah juga terdesak memburu kemenangan pertama selepas kalah di gelanggang sendiri, sudah tentu perlawanan ini sangat sukar bagi kami untuk memperoleh mata di tempat sendiri,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Pemain pertahanan yang boleh berbahasa Melayu itu turut mengingatkan barisan benteng pertahanan TRW kekal fokus dan bersedia menghadapi serangan balas pasukan lawan.
“Jadikan jaringan Selangor United yang terhasil melalui serangan balas sebagai pengajaran berguna kepada kita,” katanya.
Untuk rekod, Kelantan memulakan saingan Liga Perdana musim ini dengan langkah kiri apabila kalah 0-1 kepada pendatang baharu, Selangor United manakala skuad Badak dimalukan 1-2 oleh JDT II di Likas.
Sementara itu, penyerang import Kelantan Mustafa Zazai bertekad mencari gol pertama beliau bersama TRW pada perlawanan berdepan Sabah.
“Perlawanan tempoh hari bukan rezeki untuk kami menang biarpun menguasai permainan terutama pada babak pertama.
“Sedikit kesilapan di bahagian tengah, kami dihukum dengan serangan balas pantas pihak lawan. Saya mahu menyempurnakan tugas saya sebagai penyerang,” katanya. – Bernama

Komen anda