‘Main petang, penyokong kurang..Macam mana mahu tampung gaji pemain?’ – Presiden PFA

22875
FOTO: Northernlions Perlis

Usaha sedang diambil oleh Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) untuk memastikan perlawananan bola sepak Liga Perdana bagi musim 2019 di Stadium Tuanku Syed Putra (STSP) di sini dapat diadakan pada waktu malam.

Presiden PFA Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Rafie berkata sebelum ini perlawanan terpaksa diadakan pada waktu petang kerana pencahayaan lampu limpah stadium tidak mencapai tahap yang mencukupi, iaitu  1,200 lux, untuk membolehkan perlawanan diadakan pada waktu malam.

“Saya sedar masalah ini menjadi sebab kehadiran penonton amat kurang. Kesannya hasil jualan tiket tidak seberapa untuk menampung pembayaran gaji pemain,” katanya.

Ahmad Amizal Shaifit berkata daripada maklum balas yang diterima, penonton lebih gemar menyaksikan perlawanan pada waktu malam dan jualan tiket dijangka meningkat jika masalah lampu limpah STSP yang berkuasa 600 lux pada masa ini dapat diatasi.

Pegawai-pegawai teknikal Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) yang meninjau kemudahan di STSP baru-baru ini juga berharap masalah lampu limpah itu dapat diatasi segera, tambahnya.

Sebelum ini Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man dalam kenyataan di laman Facebooknya memaklumkan kerajaan negeri memperuntukkan RM2.5 juta bagi membaiki dan menaik taraf lampu stadium.

“Saya merayu Menteri Besar supaya menyegerakan kerja-kerja pembaikan sebelum perlawanan pertama Perlis menentang pasukan JDT (Johor Darul Ta’zim)  2 di stadium itu pada 15 Feb depan,” kata Ahmad Amizal Shaifit yang menambah beliau turut berusaha mencari dana bagi meningkatkan pencahayaan lampu stadium.

Sebelum ini MFL mendapati enam stadium ‘kantoi’ kerana tidak mencapai tahap piawaian pencahayaan lampu limpah seperti yang ditetapkan dalam manual Liga Malaysia (Liga M) 2017. – Bernama

Komen anda