Majlis pelancaran pasukan F1 serentak

55

PENGANJUR perlumbaan Formula 1 (F1) buat pertama kali akan mengadakan majlis pelancaran musim baharu 2019 bersama kesemua pasukan di Melbourne, 13 Mac depan sebelum bermulanya saingan pembukaan Grand Prix (GP) Australia di Litar Albert Park pada minggu yang sama.

Penganjur F1 turut mengesahkan majlis yang terbuka kepada orang awam itu membabitkan sebanyak 20 pemandu serta 10 pasukan dan akan diadakan di Federation Square.

Terdahulu, semua pasukan menolak cadangan untuk melakukan pelancaran jentera baharu dalam majlis yang sama bagi memastikan setiap pasukan tidak dibayangi dengan pasukan lain.

Malah, majlis rasmi yang diadakan sebelum setiap perlumbaan sebelum ini tidak dihadiri semua pemandu.

Juara dunia lima kali, Lewis Hamilton terlepas acara ‘F1 Live’ di London yang dihadiri oleh barisan pencabarnya.

“Atas semangat luar biasa yang ditunjukkan peminat di Melbourne, kami memutuskan untuk menganjurkan majlis pelancaran pasukan secara serentak buat kali pertama dalam sejarah F1.

“Kami cukup teruja berkongsi kegembiraan ini dengan para peminat F1. Majlis yang diadakan itu nanti bukan sahaja istimewa buat peminat tempatan (Melbourne), malah kepada peminat di seluruh dunia.

“Musim 2019 juga menjadi detik bersejarah kerana kami meraikan ulang tahun ke-1,000 penganjuran F1 pada GP China tahun ini,” kata Ketua Komersial F1, Sean Bratches.

Komen anda