MARC Marquez tidak terkejut melihat prestasi mengagumkan pelumba Suzuki, Alex Rins pada sesi latihan bebas di Litar Sepang sempena saingan MotoGP Malaysia.

 

Pelumba Repsol Honda yang juga juara dunia 2018 itu berkata, beliau yakin Suzuki sudah berada di landasan tepat untuk menjadi pencabar utama MotoGP di musim akan datang.

 

“Tiada yang mengejutkan melihat Rins menjadi pelumba terpantas. Suzuki sedang bekerja keras dan saya rasa motorsikal mereka sudah bersedia untuk merebut gelaran juara dunia,” katanya.

 

Tambah Marquez, beliau bukan hanya melihat prestasi memberangsangkan Suzuki di Sepang, bahkan dalam perlumbaan sebelum ini juga syarikat dari Jepun itu sudah mempamerkan belangnya.

 

“Mereka menunjukkan prestasi cemerlang sejak di Aragon dan motorsikal mereka juga dilihat lebih kompetitif terutama ketika di selekoh.

 

“Cuma, mungkin kelemahan mereka terletak pada kelajuan maksimum yang kurang menyerlah berbanding jentera lain. Tetapi keseluruhannya mereka sudah mengalami peningkatan yang cukup memberangsangkan,” katanya lagi.

 

Dalam sesi latihan pertama dan kedua di Sepang, Rins mencipta kejutan apabila menjadi pelumba terpantas di kedua-dua sesi.

 

Untuk rekod, Suzuki masih gagal menjuarai sebarang perlumbaan musim ini, namun telah tujuh kali mengakhiri saingan di kedudukan podium, yang terbaharu di Litar Phillip Island, Australia dengan Andrea Iannone mengakhiri saingan di kedudukan kedua.

 

Komen anda