‘Marquez lebih tertekan berbanding Lorenzo’

84

PENYANDANG juara MotoGP, Marc Marquez dijangka lebih tertekan berbanding rakan sepasukannya yang baharu, Jorge Lorenzo.

Lorenzo yang juga juara dunia MotoGP tiga kali bakal bergandingan buat kali pertama bersama Marquez dalam pasukan Repsol Honda musim ini.

Melihatkan situasi tersebut, legenda permotoran dunia, Wayne Rainey menjangkakan Marquez bakal menghadapi lebih tekanan bagi memburu kejuaraan dunia MotoGP 2019.

“Lorenzo masih perlu menyesuaikan diri dengan jentera Honda. Itu mungkin menjadi alasan terbaik untuk dia tidak menewaskan Marquez pada saingan musim ini.

“Marquez sememangnya diakui sebagai seorang pelumba yang hebat tetapi dia juga mempunyai kelemahan. Jadi dia perlu memperbaiki segala kelemahan yang ada.

“Saya lihat Lorenzo bakal menjadi pembakar semangat paling kuat buat Marquez. Namun, pada masa sama, Lorenzo juga sukar diramal. Dia seorang pelumba yang gemar mengambil risiko bagi mencapai sasaran yang diinginkan,” kata Rainey.

Juara dunia tiga kali 500cc itu menambah, jika Lorenzo mampu memberi tekanan kepada Marquez, ia bakal memberi kelebihan buat pendatang baharu pasukan Repsol Honda tersebut.

“Tekanan lebih kepada Marquez berbanding Lorenzo disebabkan Lorenzo datang dari pasukan Ducati. Honda sudah sinonim dengan Marquez. Motosikal Marquez dibuat khas untuk Marquez.

“Bagi Loenzo, jika dia menamatkan perlumbaan di tempat ketiga atau keempat, dia boleh berkata, ‘saya masih menyesuaikan diri dengan motosikal’. Dia tidak menghadapi sebarang tekanan,” jelasnya lagi.

Komen anda