Marquez tetap tenang…

46

JUARA dunia MotoGP musim lalu, Marc Marquez tetap tenang melihat permulaan musim baharunya walaupun gagal mencapai keputusan maksimum dalam dua hari terakhir ujian pra-musim di Litar Antarabangsa Sepang.

Begitupun Marquez yang masih belum sembuh 100 peratus selepas pembedahan bahunya tetap muncul selaku pelumba terpantas hari pertama ujian MotoGP Sepang, Rabu lalu sebelum Maverick Vinale mengungguli hari kedua dan Danilo Petrucci terpantas hari ketiga.

Kedudukan Marquez yang merosot pada hari kedua dengan menamatkan perlumbaan di tempat kelapan turut berdepan situasi sama apabila berada di kedudukan ke-11 keesokannya sekali gus menyaksikan penguasaan Ducati di kedudukan empat teratas dengan komposisi 2-4, Francesco Bagnaia, Jack Miller serta Andrea Dovizioso.

Marquez sedar bahawa pesaingnya kini bekerja keras untuk mengatasi dominasi Honda selepas penguasaan saingan musim lalu dengan sembilan kemenangan dari 19 siri.

“Pasukan lawan kini meningkat dengan cepat dan bekerja keras untuk mengalahkan kami. Jadi sudah semestinya kami akan berusaha untuk mempertahankan gelaran dunia,” kata Marquez dalam wawancara pada majlis Repsol Honda Visit Indonesia.

“Keputusan ujian masa di Malaysia sangat mencabar, tetapi jangan lupa bahawa ujian musim terakhir saya yang lalu juga berakhir di tempat kelapan atau kesembilan.”

“Jadi apa yang lebih penting di sini adalah kami perlu terus bekerja untuk musim ini, bukan sekadar ujian di Malaysia tetapi di kesebelas perlumbaan musim ini.

“Apabila anda mendapat lebih banyak pengalaman, anda mula mempercayai betapa pentingnya terus bekerja dalam membangun sebuah motosikal, untuk pakej dan kekal konsisten. Kami akan terus berusaha dan begitu juga Ducati, Yamaha, Suzuki dan semua pengeluar bekerja keras ke arah kecemerlangan,” jelasnya.

“Tetapi saya gembira dengan kerja HRC musim sejuk ini, kami akan tetap diuji di Qatar,” katanya.

Komen anda