PEMAIN terbaik dunia, Cristiano Ronaldo sah menyertai Juventus dengan nilai perpindahan €105 juta.

Berita perpindahan ini diumumkan laman rasmi Real Madrid sebentar tadi dengan mengesahkan sudah melepaskan bintang Portugal itu menyertai Serie A musim depan.

Selepas berita itu diumumkan Ronaldo turut membuat pengesahan melalui satu surat terbuka dan menjelaskan mengapa beliau membuat keputusan berhijrah.

“Sepanjang saya di Real Madrid, itu merupakan detik indah sepanjang hidup saya.

“Saya gembira di sini dan saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang sentiasa menyokong saya dan membantu saya mengembangkan karier yang saya cintai ini.

“Tetapi saya merasakan kini sudah tiba masanya untuk saya membuka satu lembaran baharu dalam hidup saya dan sebab itulah saya memohon kelab untuk melepaskan saya. Saya berharap semua orang terutamanya peminat saya untuk memahami keputusan ini,” katanya.

Difahamkan Ronaldo akan bertemu Presiden Juventus Selasa depan memandangkan beliau sedang bercuti di Greece bersama teman wanita dan keluarganya.

Berita perpindahan ini sekali gus menamatkan semua spekulasi perpindahannya ke kelab China dan juga Manchester United seperti yang dicanangkan sebelum ini.

Komen anda