Mourinho akan gugur beberapa pemain utama apabila berkunjung ke Bournemouth, awal pagi Khamis

BOS Manchester United, Jose Mourinho berkata, dia akan memilih barisan baharu bagi perlawanan Liga Perdana Inggeris menentang Bournemouth awal pagi Khamis dan separuh akhir Piala FA menentang Tottenham Hotspur di Wembley pada Sabtu ini.

Tegas Mourinho, tidak akan ada tempat dalam kesebelasan utama United bagi kedua-dua perlawanan itu kepada pemain yang mengecewakan dalam kekalahan 0-1 kepada West Brom, Ahad lalu.

Kekalahan memalukan itu memberikan hadiah besar buat seteru tetangga mereka, Manchester City kejuaraan EPL yang sekali gus turut membuatkan Mourinho bengang.

Dia menuduh pemainnya terlalu berpuas hati selepas kemenangan menundukkan City pada dua minggu lalu.

“Penggiliran adalah perkataan yang tidak tepat. Jika saya memilih seorang pemain itu dalam perlawanan menentang Bournemouth dan pemain itu adalah luar biasa, dia akan bermain untuk ke separuh akhir juga.

“Jadi tidak ada penggiliran kerana penggiliran akan memberi pemain menentang Bournemouth dan memberi rehat kepada pemain lain yang tidak bermain dan akan bermain menentang Spurs di separuh akhir.

“Perkara sebenar bukanlah penggiliran. Ini adalah mengenai memberi peluang kepada mereka. Bagi mereka yang mahu bermain dan cuba untuk mendapat tempat bagi pasukan menentang Spurs. Yang pasti beberapa pemain (yang diturunkan menentang West Brom), mereka tidak mempunyai tempat dalam pasukan.

“Kriteria apa yang diperlukan seorang pengurus untuk memilih sebuah pasukan? Saya hanya tahu satu kriteria: cara anda bermain adalah satu-satunya cara untuk saya memilih pemain.” katanya.

 

Komen anda