KHAIRIL ANWAR MOHD AMIN
Pencapaian cemerlang dinobatkan sebagai Olahragawan Sukan Majlis Sukan Sekolah (MSS) Malaysia Bawah 15 Tahun menjulang nama Muhammad Azeem Mohd Fahmi,14, untuk terpilih penerima Anugerah Putera Sukan MSS Perak 2018.
Pemilihan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gunung Rapat, Ipoh itu menepati jangkaan susulan kejayaan anak jati Teluk Intan itu memenangi empat emas dalam acara olahraga kejohanan tersebut termasuk memecahkan dua rekod kejohanan dalam acara larian 100 dan 200 meter.
Selain Muhammad Azeem, seorang lagi pelajar SMK Gunung Rapat, M Ghayathree,15, turut dinobatkan sebagai penerima Anugerah Puteri MSS Perak tahun 2018 setelah memenangi emas dalam acara lompat kijang dalam kejohanan MSS Malaysia bawah 15 tahun.
Muhammad Azeem berkata, dalam kejohanan MSS Malaysia yang lalu, dia berjaya memecahkan rekod kejohanan dalam acara 100 meter yang berusia lebih 10 tahun dengan catatan terbaik 10.78 saat berbanding rekod terdahulu 10.99 saat.
Menurutnya, dalam acara larian 200 meter, dia sekali lagi berjaya memecahkan rekod kejohanan denban mencatat masa terpantas 21.87 saat berbanding rekod terdahulu 22 saat.
“Selain itu, saya turut membantu kontinjen Perak memenangi tambahan dua emas dalam acara lari berganti 4×100 meter dan 4×400 meter dalam kejohanan itu.
“Pencapaian saya diteruskan dengan kejayaan memenangi empat emas dalam kejohanan antarabangsa Little Athletics selain membantu kuarters 4×100 meter Perak memenangi pingat Perak dalam acara Sukma 2018 bulan lalu.
“Saya amat berbangga dengan anugerah diterima dan bersedia untuk berusaha lebih gigih agar mampu menempatkan diri sebaris dengan atlet-atlet olahraga kebangsaan dalam kategori elit untuk bersama-sama membantu mengharumkan nama negara kelak,”katanya selepas majlis anugerah sukan MSS Perak tahun 2018 di Kolej Melayu Kuala Kangsar yang dirasmikam Pengarah Pendidikan Negeri Perak, Datuk Mat Lazim Idris.
Dengan penerimaam anugerah berprestij itu, Muhammad Azeem dan Ghayathree membawa pulang RM500, trofi dan sijil penghargaan.
Bagi penerima Anugerah Puteri MSS Perak tahun 2018, M Ghayathree dari sini berkata, dia tidak menyangka terpilih memenangi anugerah paling berprestij anjuran Jabatan Pendidikan Negeri Perak pada tahun ini kerana berdepan persaingan sengit dari atlet cemerlang lain.
Menurutnya, dia berterima kasih kepada jurulatih, pengurusan sekolah, guru-guru dan ibu bapa yang tidak putus-putus memberi sokongan padu terhadap usahanya sehingga mampu merangkul emas dalam kejohanan olahraga bertaraf kebangsaan.
“Kini, saya berharap agar dapat terpilih menyertai sama ada Sekolah Sukan Bukit Jalil, Kuala Lumpur atau Bandar Penawar, Johor pada masa hadapan untuk membolehkan saya lebih fokus mempertingkatkan prestasi dalam sukan diceburi.
“Saya juga berharap akan terus membantu menghadiahkan lebih banyak kejayaan untuk kontinjen negeri Perak dalam kejohanan sukan utama pada tahun hadapan,”katanya.
Selain Muhammad Azeem dan Ghayathree, pelajar Sekolah Jenis Kebangsaan Cina(SJKC) Tit Bin, Liew Chuan Yang,12, dan pelajar Sekolah Kebangsaan Pinji, Adriana Qistina Mohd Narazi,11, turut terpilih sebagai penerima Anugerah Tunas Putera dan Puteri MSS Perak tahun 2018 setelah cemerlang dalam bidang sukan olahraga dan boling tenpin.
Pencapaian keseluruhan sukan terbaik peringkat daerah di Perak dimenangi daerah Kinta diikuti  daerah Larut, Matang dan Selama di tempat kedua dan daerah Manjung(tempat ketiga)

Komen anda