Mohd Nidzam percaya Kedah masih mampu raih kedudukan terbaik pada penghujung Liga Super 2018.

WAN MOHD NOOR HAFIZ WAN MANSOR
FOTO AHMAD ZAKI OSMAN

KEDAH digesa bangkit memburu kemenangan apabila menerima kunjungan JDT bagi aksi ke-18 Liga Super di Stadium Darul Aman malam esok.

Biarpun sedar bukan tugas mudah berdepan Harimau Selatan yang sah bergelar juara liga super buat kali kelima berturut-turut, Hijau Kuning perlu memburu tiga mata untuk memberi saingan kepada perebutan naib juara pada musim ini.

Menurut Ketua Jurulatih Kedah, Mohd Nidzam Adzha Yusof, pemainnya perlu melupakan kekalahan besar 4-1 kepada Melaka United pada aksi saingan liga di Stadium Hang Jebat pada Selasa lalu.

“Kedah perlu segera bangkit dan membaiki kelemahan untuk terus bersaing dalam empat perlawanan terakhir liga super kerana ruang masih terbuka untuk capai kedudukan terbaik.

“Kita ada kelebihan tiga perlawanan beraksi di tempat sendiri dan satu aksi lagi di laman lawan bertemu Perak di Ipoh. Beraksi di laman sendiri adalah satu kelebihan yang sepatutnya tidak boleh disia-siakan lagi,” katanya.

Tambah Mohd Nidzam, pemain perlu kembali bersatu dan mencari semangat baharu untuk memburu kemenangan sekaligus mengelakkan mereka tercicir mata.

Hijau Kuning kini berada di tangga keempat berkongsi dengan 30 mata sama dengan Terengganu di tangga ketiga manakala Perak pula di tangga kedua dengan kelebihan satu mata.

 

Komen anda