Pandelela tak sabar kembali ke gelanggang

104
SEPANG, 15 Nov -- Ratu Terjun Negara Pandelela Rinong (dua, kanan) dan Nur Dhabitah Sabri (kiri) bersama Ketua Pegawai Operasi Malaysia Airlines Ahmad Luqman Mohd Azmi (tiga, kiri) bergambar bersama kakitangan MAG yang memenangi pertandingan kecergasan dan mendapat baju tshirt yang ditandatangan oleh ratu terjun negara pada sesi senaman di Pejabat Pentadbiran Malaysia Airlines hari ini. --fotoBERNAMA (2018) HAK CIPTA TERPELIHARA
RATU terjun negara, Pandelela Rinong Pamg teruja untuk kembali berlatih dalam usahanya mencapai semula tahap prestasi terbaik bagi mengharungi cabaran 2019.

Pandelela, yang melakar sejarah muncul atlet terjun negara pertama dalam acara individu merangkul pingat Piala Dunia dengan meraih gangsa acara 10 meter (m) platform di Wuhan, China, pada Jun lalu, berkata , kecederaan pinggang serta bahu dialaminya semakin pulih.

Bagaimanapun, beliau mengakui sudah mula menjalani latihan berintensiti rendah sejak beberapa minggu lepas demi mengekalkan rentak terjunannya sebelum memulakan latihan sebenar pada awal bulan depan.

“Kecederaan saya yang berulang ini memerlukan tempoh maksimum tiga bulan untuk pulih sepenuhnya. Sekarang ini pun saya sudah berlatih secara perlahan-lahan dengan melakukan rutin terjunan asas dan ia lebih menumpukan kepada proses pemulihan.

“Sebagai atlet terjun, saya tidak boleh tinggalkan terjunan dalam tempoh yang lama. Kalau tinggalkan lama, saya akan hilang memori otot yang terlibat ketika melakukan terjunan,” katanya ketika ditemui selepas dia bersama Nur Dhabitah Sabri mengendalikan sesi senaman dengan kira-kira 30 kakitangan Malaysia Airlines di sini, semalam.

Dalam pada itu, Olahragawati Kebangsaan 2015 itu berpuas hati dengan pencapaiannya sepanjang tahun 2018 dan berazam untuk mencipta lebih banyak kejayaan pada tahun hadapan termasuk menempah slot ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

“Walaupun dihimpit dengan kecederaan saya tetap puas hati dengan pencapaian saya terutamanya sewaktu Piala Dunia dan di Sukan Komanwel 2018. Selain itu di beberapa siri kejohanan dunia juga ada keputusan yang memberangsangkan dan saya harap tahun depan boleh jadi lebih baik,” tambahnya.

Selain pingat gangsa di Piala Dunia, Pandelela turut merangkul emas bersama gandingannya, Cheong Jun Hoong pada Sukan Komanwel 2018 di Gold Coast dalam acara 10m platform seirama wanita.

Namun, atlet kelahiran Sarawak itu gagal meneruskan kecemerlangannya di pentas Sukan Asia 2018 selepas terpaksa menarik diri saat akhir akibat kecederaannya itu. – Bernama

Komen anda