PERSATUAN Bola Sepak Perak (Pafa) melakukan rekrut pertama mereka apabila berjaya mendapatkan khidmat pemain tengah Terengganu FC (TFC), J Partiban bagi memperkuatkan skuad The Bos Gaurus untuk menghadapi saingan Liga Malaysia 2019.
Presidennya, Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim berkata, Partiban yang juga bekas pemain Perak mengikat kontrak selama setahun dan majlis menandatangani perjanjian antara kedua-dua pihak dibuat di pejabat Pafa di sini hari ini.
Katanya, kepulangan pemain berkenaan ke Perak pastinya memberi suntikan tambahan kepada skuad sedia ada yang berjaya merangkul kejuaraan Piala Malaysia musim ini.
“Partiban adalah pemain utama skuad TFC ketika berdepan Perak sewaktu aksi perlawanan akhir Piala Malaysia tempoh hari. Beliau juga merupakan pemain pertama yang ditandatangani Perak untuk menghadapi cabaran musim depan.
“Saya rasa ini kepulangan yang ditunggu peminat bola sepak Perak selepas beliau berkelana hampir empat musim ke Sarawak dan TFC  sebelum ini,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Pafa di Pejabat Pafa hari ini.
Partiban, 26, pernah mewakili Perak pada 2014, namun selepas itu beliau berkelana ke Sarawak dan TFC.
Partiban yang popular dengan gelaran ‘Palo’ berjaya membawa TFC  muncul naib juara Piala Malaysia 2018 dan tempat kelima Liga Super 2018.
Hasnul berkata, selain Partiban Perak juga sedang mengintai beberapa pemain daripada pasukan lain yang dilihat sesuai untuk diserapkan bagi memperkuatkan pasukan.
Dalam perkembangan sama, Hasnul berkata, Pafa juga telah melanjutkan kontrak jurulatih, Mehmet Durakovic untuk tempoh selama setahun.
Beliau berkata, secara dasarnya Mehmet bersetuju dan pelantikan secara rasmi akan dibuat dalam masa terdekat.
Pada sidang media itu juga, Hasnul mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Presiden Pafa berkuat kuasa serta merta. – Bernama

Komen anda