Dua finalis musim lalu, Persatuan Bola Sepak Felda Wilayah (PBFW) Alor Setar dan Kuantan bermula perlahan apabila masing-masing sekadar meraih satu mata berharga dalam aksi pembukaan Piala Pengerusi Felda, di sini, hari ini.

Juara bertahan Alor Setar bangkit daripada ketinggalan untuk mengikat Mempaga 2-2 manakala Kuantan pula gagal memanfaatkan kelebihan untuk diikat oleh Sahabat dengan jumlah jaringan yang sama.

Bagi pengurus Alor Setar, Mohd Khalil Hassan, faktor sebagai pasukan pilihan nyata memberi kesan kepada persembahan anak buahnya yang dilihat tertekan sepanjang perlawanan.

“Terus terang saya katakan, kami kali ini diperkuatkan kebanyakan pemain baru, jadi kami mengambil sedikit masa untuk menemui keserasian.

“Selain itu, saya lihat pemain juga tampak tertekan akibat daripada status sebagai juara bertahan dengan semua pasukan memberi perhatian kepada kami,” katanya.

Dalam aksi tersebut dua jaringan Alor Setar dihasilkan Mohamad Nazrul Razulkarni pada minit ke-17 dan Nizar Adha Che Sobar (m-47) manakala Mempaga pula menerusi ledakan Azim Faris Shari (m-31) dan Saiful Hussin (m-34).

Kuantan pula harus menyalahkan diri sendiri selepas membenarkan PBFW Sahabat bangkit mengikat aksi 2-2 meskipun terlebih dulu selesa di depan hasil dua jaringan penyerangnya Khairulazman Awang Long.

Bagaimanapun, naib juara tahun lalu itu dikecewakan jaringan penyamaan pemain Sahabat, Harmimi Saibil pada minit ke-37 dan Nurmiswari Matlin (m-52).

Saingan Piala Pengerusi Felda membabitkan 12 pasukan yang dibahagikan kepada empat kumpulan dengan dua pasukan terbaik daripada setiap kumpulan mara ke suku akhir yang dijadualkan berlangsung petang esok.

Pertandingan yang disertai warga Felda seluruh negara itu menawarkan hadiah kemenangan RM 20,000 buat pasukan juara dengan naib juara membawa pulang RM 15,000 diikuti tempat ketiga (RM 8,000) dan keempat (RM 5,000).

Komen anda