Pengorbanan Khatul demi karier

697

SELEPAS gagal mendapatkan mendapatkan tempat beraksi bersama rakan sepasukan, penjaga gol skuad bawah 22 tahun (B22) negara, Khatul Anuar Md Jalil akhirnya memilih Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM FC) sebagai destinasi terbaharunya dalam saingan Liga Malaysia 2019.
Masih terikat kontrak bersama majikannya, Kuala Lumpur sehingga 2020, Khatul mengakui terpaksa berkorban untuk berhijrah ke divisyen lebih rendah demi mendapatkan minit permainan yang lebih supaya khidmatnya terus ditagih dalam skuad kebangsaan.
Pemain kelahiran Alor Setar, Kedah tersebut menjelaskan agak sukar baginya untuk berada dalam kesebelasan utama skuad Warga Kota memandangkan dia perlu bersaing dengan pemain yang lebih senior di iaitu Sharbinee Allawee dan Kamarul Effandi.
“Saya berpindah ke UKM FC dengan status pinjaman disebabkan mahu bermain dalam pasukan lebih supaya peluang bermain bersama skuad kebangsaan lebih cerah.
“Kalau bersama Kuala Lumpur, peluang untuk bermain agak tipis jadi ini merupakan pengorbanan saya mahukan pengendali skuad B23, Datuk Ong Kim Swee melihat dan khidmat saya terus diperlukan buat skuad kebangsaan selepas ini.
“Bukan senang untuk buat keputusan ini, jadi saya berbincang dengan semua pihak dan mereka juga memberikan maklum balas yang baik jadi ini adalah peluang terbaik buat diri saya,” katanya.
Khatul kini antara 25 senarai awal pemain skuad kendalian Kim Swee yang terpilih menjalani latihan pusat di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan dijadualkan berlepas ke Bangkok, Thailand pada 13 Januari untuk kem latihan pusat serta mengharungi aksi persahabatan sehingga 19 Januari.
Aksi persahabatan tersebut sebagai persiapan pasukan untuk menghadapi Kejohanan Piala AFF B-22 di Kemboja pada 17 Februari dan Kelayakan Kejuaraan B-23 AFC 2020 yang dijadualkan berlangsung 22 hingga 26 Mac 2019 di Kuala Lumpur.

Komen anda